Selasa, 7 Februari 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Pelajar ponteng baca al-Quran

Posted:

Pelajar ponteng baca al-Quran

Pelajar ponteng baca al-Quran


Hussin Awang (tiga dari kanan, berdiri) memberikan nasihat kepada 28 orang pelajar yang ditahan sewaktu operasi mencegah ponteng di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 6 Feb. - Seramai 28 pelajar lelaki beberapa sekolah menengah sekitar daerah Kota Baharu yang ditahan kerana ponteng sekolah hari ini, diarah membaca al-Quran.

Pengarah Jabatan Pelajaran (JPN) Kelantan, Hussin Awang berkata, kesemua pelajar yang ditahan itu dibawa ke Masjid Mukim Telipot, di sini untuk diberi kaunseling dan diarah membaca al-Quran di bawah bimbingan imam masjid itu, Ahmad Yunus.

Pelajar terbabit yang berumur antara 15 dan 18 tahun, ditahan antaranya di pusat beli-belah, taman perumahan dan surau.

"Ada kalangan pelajar yang ditahan itu sedang merokok," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Hussin berkata, pelajar terbabit kemudiannya dibebaskan selepas diambil kenyataan dan latar belakang mereka oleh guru disiplin atau kaunselor untuk tindakan lanjut.

Operasi bersepadu melibatkan lapan agensi kerajaan berkaitan, selama dua jam bermula 9.30 pagi itu, adalah lebih kepada usaha untuk mendidik pelajar agar tidak ponteng sekolah, katanya.

Katanya, terserah kepada pihak sekolah untuk memanggil ibu bapa atau penjaga pelajar terbabit untuk dimaklumkan mengenai kesalahan yang dilakukan anak mereka itu.

Beliau berkata, operasi bersepadu itu akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras penglibatan pelajar dengan kegiatan tidak sihat.

Operasi bersepadu itu melibatkan Pejabat Pelajaran Daerah Kota Baharu, polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Majlis Perbandaran Kota Baharu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. - BERNAMA

Perkukuh nilai toleransi - TPM

Posted:

Perkukuh nilai toleransi - TPM

Perkukuh nilai toleransi - TPM

KUALA LUMPUR 6 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua lapisan masyarakat supaya terus memperkukuhkan nilai toleransi sesama kaum sebagai asas perpaduan dan keharmonian yang dikecapi negara selama ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tahap toleransi yang tinggi di kalangan masyarakat pelbagai kaum negara ini amat istimewa dan tidak akan mampu dinikmati di negara-negara lain di dunia.

Justeru, kata beliau, kemakmuran yang dinikmati negara sekarang perlu dipelihara supaya keadaan itu berkekalan di masa hadapan.

"Hayati dan laksanakan apa juga langkah yang boleh menguatkan lagi ikatan perpaduan di antara penduduk pelbagai kaum di negara ini.

"Jangan sesekali memandang remeh kepentingan toleransi sesama kaum kerana ikatan perpaduan yang lemah akan menjadi punca timbulnya sikap permusuhan sekali gus memusnahkan usaha merapatkan kaum-kaum di negara ini yang telah dimulakan sejak negara mencapai kemerdekaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini, sempena perayaan Thaipusam yang akan diraikan masyarakat Hindu esok.

Muhyiddin berkata, adalah sesuatu yang unik apabila perayaan bersifat agama untuk kaum India itu berjaya menggamit minat orang luar untuk datang ke negara ini melihat sendiri sambutan yang diadakan secara besar-besaran.

Mohon maaf ejaan Tamil tersilap

Posted:

Mohon maaf ejaan Tamil tersilap

Mohon maaf ejaan Tamil tersilap

PUTRAJAYA 6 Feb. - Anggota Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini memohon maaf kepada kaum India, atas kesalahan terjemahan dan ejaan bahasa Tamil pada kain rentang 'Selamat Menyambut Thaipusam' yang digantung di beberapa lokasi di sini.

Beliau yang kesal dengan perkara itu berkata, pihaknya menggantung kain rentang tersebut dengan niat baik iaitu sebagai menghormati penganut agama Hindu yang menyambut perayaan Thaipusam.

"Niat saya adalah baik mahukan tulisan Tamil turut serta pada kain rentang itu. Jadi kita minta pekerja BN (Barisan Nasional) dan anggota MIC untuk membantu menterjemahkan dan menulis dalam bahasa Tamil.

"Nampaknya mereka tidak mahir dalam bahasa Tamil. Saya minta maaf atas perkara tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Aman Kampus Kembara Mahasiwa Bersama Masyarakat di sini.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN berjanji akan memastikan kesilapan serupa tidak berulang dan akan mengambil pakar bahasa untuk melakukan terjemahan pada masa akan datang.

Beliau turut mengakui kain rentang itu disiapkan dalam keadaan tergesa-gesa. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan