Rabu, 22 Februari 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Cabutan bertuah umpan kaki judi

Posted: 21 Feb 2012 02:04 PM PST

AMPANG: Makan dan minum percuma tarikan utama ditawarkan beberapa kafe siber yang menjalankan aktiviti perjudian Internet di Taman Cahaya, di sini, kepada kaki judi.

Taktik itu terbongkar selepas lima kafe siber diserbu sepasukan anggota Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor bersama Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, malam kelmarin.


Dalam serbuan jam 11 malam itu, kafe siber terbabit turut menawarkan cabutan bertuah kepada pelanggan yang membuat pertaruhan lebih RM50, malah cabutan itu diadakan sebulan sekali dengan kemenangan berdasarkan mata yang dikumpul iaitu 1,000 mata bagi tempat pertama, kedua (500) dan ketiga (100).

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Izwan Abdul Karim berkata, kebanyakan kafe siber itu berselindung di sebalik perniagaan restoran bagi mengaburi pihak berkuasa.


Katanya, pelanggan yang ingin memasuki kafe siber itu pula terlebih dulu perlu memasuki restoran berkenaan.


"Kafe siber terbabit menyediakan cabutan bertuah dan makanan percuma kepada pelanggan untuk menarik kaki judi bermain lebih lama.

"Seramai 16 kaki judi berusia 20 hingga 60 tahun dan lima penjaga premis ditahan manakala 83 mesin judi iaitu berupa komputer dirampas," katanya dalam sidang media di sini, semalam.


Beliau berkata, pintu masuk ke premis itu dipantau menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) selain pemiliknya mengubah suai pintu masuk dengan membina tembok di tepi premis bagi menunjukkan seolah-olah ia tidak beroperasi.

Katanya, semua premis itu pernah diserbu, namun kembali aktif sejak dua minggu lalu.


"Tindakan tegas diambil terhadap pemilik premis mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000," katanya.



Perbadanan Pembangunan Kampung Baru dilancar Mei

Posted: 21 Feb 2012 02:01 PM PST

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) dilancarkan secara rasmi Mei depan dalam usaha merealisasikan kejayaan perancangan pembangunan Kampung Baru, satu-satunya perkampungan Melayu di tengah-tengah bandar raya ini.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga sudah meluluskan penubuhan 'interim team' dan pelantikan pegawainya berkuat kuasa pada 1 Mac ini.


Selain itu, pejabat PPKB dijangka beroperasi pada pertengahan April depan di bangunan Rohas di Kampung Baru, di sini.

"Ini bukti komitmen kementerian yang amat tinggi dalam pembangunan, pembangunan semula atau penambahbaikan kawasan Kampung Baru," katanya dalam sidang media selepas pelancaran Terminal Sejahtera Kampung Baru di Kampung Baru, di sini, semalam.


Rang Undang-Undang PPKB 2011 sudah dibentangkan di Parlimen dan diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Oktober dan Disember tahun lalu. Ia diwartakan pada 30 Disember tahun lalu di bawah Akta 733 dan berkuat kuasa pada 1 April depan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan