Selasa, 21 Februari 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Air deras ‘terjah’ rumah

Posted: 20 Feb 2012 12:35 PM PST

KUALA LUMPUR: "Dua minggu lalu tembok batu di belakang rumah runtuh, hari ini (semalam) rumah kami pula dimasuki air," kata Mohd Suffian Muda, 39, mengenai rumahnya di Lorong Maarof, dekat Bangsar, di sini, yang 'diterjah' arus deras akibat hujan lebat petang semalam.

Kejadian jam 4.45 petang itu berpunca akibat longkang yang tersumbat di persimpangan lampu isyarat Jalan Maarof-Jalan Ara kira-kira 30 meter dari rumah berkenaan.


Ia turut menyebabkan persimpangan lampu isyarat berkenaan bertukar 'sungai' dan arus deras banjir kilat itu menyebabkan rumah terbabit dinaiki air kira-kira 0.5 meter.

Mohd Suffian berkata, kejadian dua minggu lalu menyebabkan tembok batu setinggi dua meter yang memisahkan rumahnya dengan kedai perabot yang terletak di bahagian belakang rumah itu runtuh.


"Arus deras memasuki kedai perabot itu sebelum merempuh tembok batu di belakang kedai itu hingga runtuh. Hari ini (semalam) disebabkan tembok batu itu runtuh, rumah kami pula dimasuki air," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Mohd Suffian berkata, kejadian itu menyebabkan keseluruhan tingkat bawah banglo dua tingkat yang didiami bersama isteri, dua anak mereka serta mentuanya itu dimasuki air dan merosakkan perabot dan tujuh karpet milik keluarga itu.

Menurutnya, kedai perabot berkenaan yang tidak mempunyai sistem perparitan turut menyebabkan rumahnya terdedah limpahan air akibat banjir kilat itu.


Tinjauan Harian Metro semalam mendapati longkang di persimpangan lampu isyarat itu tersumbat menyebabkan aliran air dari Jalan Ara melimpah sehingga ke permukaan jalan apabila hujan lebat.

Limpahan air itu menyebabkan ruang pejalan kaki di Jalan Ara mendap dan dikhuatiri menyebabkan papan tanda setinggi 10 meter di tepi jalan itu tumbang.


Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya, Mumtaz Ali, 58, berkata dia kecewa kerana pihaknya sudah membuat aduan kepada pihak terbabit sejak kejadian pertama dua minggu lalu, namun tiada tindakan diambil.


"Saya bimbang berlaku kejadian lebih buruk selepas ini sekiranya tiada tindakan diambil," katanya.



Jurujual kereta kebas RM10,000

Posted: 20 Feb 2012 12:33 PM PST

KUALA LUMPUR: Hasrat seorang ahli perniagaan untuk memandu kereta baru BMW X6 terkubur selepas mendapati dirinya ditipu RM10,000 oleh seorang jurujual yang kononnya dapat memberi diskaun, Sabtu lalu.

Ahli perniagaan berusia 40 tahun itu berurusan dengan lelaki terbabit yang mendakwa jurujual kereta berjenama berusia 24 tahun sebulan lalu selepas mengenalinya melalui seorang rakan.


Menurut sumber, mangsa pada mulanya mempercayai suspek yang kononnya boleh mendapatkan harga murah.

"Yakin dengan penerangan suspek, mangsa memasukkan RM10,000 ke dalam akaun suspek pada 10 Januari lalu dan pergi ke Johor Bahru untuk melihat kenderaan yang dibelinya itu.


"Setibanya di Johor Bahru, suspek membawa mangsa ke sebuah hotel untuk menunggu rakannya tiba dengan kereta berkenaan, tetapi rakannya itu tidak muncul-muncul," katanya.


Menurutnya, suspek yang berada di hotel berkenaan bersama isterinya berjanji kereta berkenaan sampai keesokan harinya.

"Bagaimanapun, keesokan harinya mangsa gagal menghubungi suspek dan isterinya serta mendapati mereka tidak bermalam di hotel berkenaan," katanya.


Katanya, mangsa menunggu hingga sebulan dan dalam masa sama cuba menghubungi suspek bertujuan membatalkan urusan pembelian itu, namun suspek gagal dikesan.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Pantai, di sini.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abd Bari Wan Abd Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa dan berkata siasatan dijalankan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan