Rabu, 15 Februari 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Rumah mendap

Posted: 14 Feb 2012 11:51 AM PST

SHAH ALAM: Tidur nyenyak lebih 1,000 penduduk di taman perumahan Jalan Plumbum 101/107, Seksyen 7 berhampiran i-City, di sini, dikejutkan dengan dentuman kuat sebelum berlaku tanah mendap, awal pagi kelmarin.

Kejadian tanah mendap jam 2.30 pagi itu mengakibatkan 35 hingga 40 rumah teres dua tingkat rosak dan ruang hadapan beberapa rumah penduduk mendap selain digenangi air.


Ahli Jawatankuasa Persatuan penduduk taman berkenaan, Zain Wahinuddin Idris, 55, berkata kejadian itu menyebabkan mereka hidup kebimbangan apabila struktur bahagian belakang dan hadapan rumah mendap lebih kurang tiga kaki selepas hujan lebat itu.

"Saya dan beberapa penduduk sudah membuat aduan mengenai kejadian tanah mendap di rumah kami sejak 2006 kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), namun tiada tindakan diambil.


"Malah, saya turut membuat laporan kepada pelbagai pihak seperti Jabatan Kerja raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), namun mereka seolah-olah memandang sepi masalah ini.


"Saya sangat sedih apabila kejadian ini menjadi semakin teruk seperti apa yang berlaku awal pagi tadi (semalam) kerana bukan saja membabitkan harta benda, malah mengancam nyawa kami. Apabila berlaku dentuman kami keluar kerana bimbang rumah runtuh," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Zain berkata, ada sebahagian penduduk yang berpindah sementara kerana bimbang kejadian itu bertambah buruk.


Dia berkata, rumah teres dua tingkat itu dibina pada 2002 dan siap sepenuhnya pada Disember 2005 sebelum dijual dengan harga RM250,000.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro petang semalam mendapati sebahagian ruang hadapan rumah beberapa penduduk di situ mendap selain arus deras akibat hujan lebat menyebabkan berlaku hakisan di kawasan berkenaan.



Lelaki serah barang kemas RM30,000 selamat isteri

Posted: 14 Feb 2012 11:49 AM PST

GOMBAK: Bimbang isterinya dibunuh, seorang lelaki menyerahkan barangan kemas bernilai RM30,000 yang disimpan dalam peti simpanan khas selepas rumah mereka di Batu Caves diceroboh lima lelaki dipercayai warga Indonesia, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, pasangan berusia 50-an itu yang tidur nyenyak terkejut selepas bilik tidur mereka dipecah masuk suspek bersenjatakan parang.


Menurut sumber, terkejut dengan kehadiran lelaki bertopeng itu, mangsa berdiam diri sambil menenangkan isterinya yang menggigil ketakutan sebelum suspek menyuruh mereka jangan melawan jika tidak mahu dicederakan.

"Mangsa yang ketakutan merayu dilepaskan dan memberitahu tiada barangan berharga di dalam rumah, namun suspek enggan mempercayainya sebelum mengacukan parang ke arah isteri mangsa dan mengugut membunuhnya jika enggan menyerahkan barangan berharga.


"Bimbang dengan keselamatan isterinya, mangsa menunjukkan peti keselamatan mengandungi barangan kemas yang disembunyikan di dalam almari," katanya.


Sumber berkata, suspek mengarahkan mangsa mengambil peti itu, malah turut menendangnya supaya cepat menyebabkan mangsa terjatuh dan luka di lutut.

"Sebaik mendapatkan barangan kemas itu, suspek melarikan diri meninggalkan mangsa.


"Yakin diri mereka selamat, mangsa datang ke Balai Polis Selayang untuk membuat laporan kejadian itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut dijalankan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan