Isnin, 13 Februari 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


2 kumpulan bertempur

Posted: 12 Feb 2012 01:53 PM PST

PETALING JAYA: Pergaduhan di antara dua kumpulan membabitkan 15 lelaki menyebabkan dua daripada mereka parah di dada dan kepala selepas dilibas dengan pedang samurai serta kapak dalam kejadian di Flat Desaria, di sini, semalam.

Seorang daripada mangsa yang berusia 26 tahun dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas terkena libasan pedang samurai sekumpulan 10 lelaki yang menyerangnya di tempat letak kereta flat berkenaan jam 8.30 pagi.


Saksi yang juga penduduk di situ dan hanya mahu dikenali sebagai Rohaya, 40, berkata ketika dalam perjalanan masuk ke rumah daripada bergotong-royong memasak di belakang rumahnya, dia terserempak empat lelaki di depan garaj keretanya.

"Seorang daripadanya parah di dada dan 10 lelaki mengejarnya. Saya melarikan diri apabila melihat sebilah pedang samurai dipegang seorang daripada 10 lelaki itu.


"Seorang lagi memegang rim kereta serta menghentak kepala seorang daripada kawan mangsa. Kejadian itu menyebabkan penduduk ketakutan kerana bimbang turut menjadi mangsa," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.


Pengerusi Surau Flat Desaria, Hamsah Samiri, 54, berkata sebelum kejadian dia melihat enam lelaki membawa sebilah pedang samurai yang menegurnya dan tidak menyangka mereka terbabit pergaduhan.

Katanya, dia terkejut selepas melihat seorang lelaki mengalami pendarahan teruk di dada selepas ditetak. Dia berlari meminta bantuan daripada seorang penduduk yang kemudian menghubungi ambulans dan polis.


Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Mohamad, berkata siasatan awal mendapati seorang daripada mangsa yang berusia 26 tahun parah di rusuk manakala identitinya seorang lagi mangsa masih disiasat.

"Mangsa dikejarkan ke PPUM untuk rawatan lanjut dan kini dalam keadaan stabil, tetapi masih tidak sedarkan diri," katanya.



Penduduk rimas lebih setahun anjing liar bertamu

Posted: 12 Feb 2012 01:51 PM PST

BATU CAVES: Penduduk di Jalan Nakhoda Kiri 2, Kampung Nakhoda, di sini, bimbang apabila masalah anjing liar yang mengganggu ketenteraman mereka hampir setahun lebih itu tidak menemui jalan penamat.

Walaupun Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menangkap anjing liar di kawasan terbabit ketika dulu, ia seperti tidak mendatangkan ketakutan kepada binatang berkenaan, sebaliknya semakin hari semakin bertambah.


Suri rumah Normah Darus, 64, berkata kumpulan anjing liar yang terdiri daripada tujuh hingga lapan ekor itu berkeliaran di sepanjang jalan berkenaan jam 5 pagi dan berterusan hingga hampir 8 pagi.

Menurutnya, penghuni 30 rumah di situ bimbang kerana kebiasaannya anak-anak mereka sudah mula keluar rumah untuk ke sekolah.


"Anjing itu mengganggu kanak-kanak dengan mengejar mereka sama ada yang berjalan atau pun menaiki basikal.


"Pernah terjadi, akibat ketakutan, seorang kanak-kanak memecut basikalnya, akibatnya mangsa terpelanting dan jatuh tersembam ke jalan tar," katanya.

Normah berkata, sehingga kini mereka tidak tahu dari mana datangnya kumpulan anjing berkenaan dan ke mana mereka menghilang selepas beberapa jam berkeliaran di kawasan perumahan itu sebelum datang semula keesokan harinya.


Bagaimanapun, katanya, kadangkala anjing liar itu menumpang tidur di beberapa rumah kosong terbiar di situ atau di hadapan pintu pagar rumah penduduk.

Sementara itu, menantu Normah dikenali sebagai Ana, 30, berkata dia tidak selesa apabila melihat kumpulan anjing berkenaan merayap di kawasan itu.


"Saya risau apabila melihat kanak-kanak dikejar, apatah lagi kasihan pada penduduk di sini yang tidak bebas keluar rumah dan bersiar-siar di sekitar kawasan rumah sendiri," katanya.


Ana bagaimanapun, berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) meneruskan usaha menangkap anjing liar lebih kerap di kawasan perumahan bagi mengelakkan perkara lebih teruk berlaku pada masa akan datang.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan