Ahad, 12 Februari 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Cabutan bertuah premis judi

Posted: 11 Feb 2012 09:24 AM PST

PETALING JAYA: Dalam usaha menarik minat pelanggan yang ketagih judi, sebuah premis judi tak berlesen menawarkan pelbagai hadiah menarik sebagai cabutan bertuah di Pusat Bandar Petaling Jaya (PJCC), di sini, semalam.

Premis berkenaan antara lima pusat judi yang diserbu Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan kerjasama D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bermula jam 10.30 malam, kelmarin.


Operasi diketuai Pegawai Turus D7 IPK Selangor, Deputi Superintendan Izwan Abd Karim itu turut menahan 15 pelanggan berusia 15 hingga 30 tahun dan enam penjaga premis.

Katanya, taktik digunakan pusat judi terbabit ialah meletakkan kamera litar tertutup (CCTV) di pintu masuk dan hanya tetap dibenar memasuki premis.


"Sebuah daripada pusat judi itu menawarkan cabutan bertuah kepada pelanggan dengan hadiah menarik seperti telefon bimbit dan barangan elektrik.


"Siasatan awal mendapati semua pusat judi terbabit mula beroperasi dua minggu lalu dan polis bertindak berdasarkan maklumat disalurkan orang awam," katanya.

Menurut Izwan, dalam serbuan itu, 187 mesin judi disita dan polis turut merampas wang tunai RM6,500.


"Kita percaya semua pusat perjudian terbabit tiada lesen dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.



Jabatan siasat

Posted: 11 Feb 2012 09:13 AM PST

JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat punca kematian Angel Cassandra, bayi perempuan berusia enam hari, didakwa akibat kecuaian kakitangan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, kelmarin.

Pengarahnya, Dr Khairi Yakub berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan pakar pediatrik kanak-kanak dan dianggotai pakar berkaitan dari hopital luar negeri ini.


Katanya, penubuhan jawatankuasa itu penting untuk menjalankan siasatan secara terperinci berhubung kematian Angel.

"Siasatan berkaitan kes ini akan dijalankan secara telus dan individu berkaitan akan dikenakan tindakan sewajarnya jika terbukti bersalah.


"Kami juga tidak menolak kemungkinan memberikan pampasan sewajarnya kepada keluarga Angel di atas kehilangan anak mereka.


"Perkara sebegini boleh berlaku di hospital, rumah atau di mana saja, tetapi kami tidak akan lepas tangan dan akan bertanggungjawab dengannya," katanya ketika dihubungi.

Pada masa sama, berkaitan tindakan undang-undang yang kononnya akan dilakukan keluarga Angel pada HSA, Dr Khairi berkata, terpulang kepada mereka jika mahu mengambil tindakan mahkamah kerana itu hak mereka.


"Sebagai penyedia perkhidmatan awam, kami akan baiki kelemahan, pada masa sama kami akan terus memberikan khidmat terbaik kepada orang ramai," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisoner Zainuddin Yaacob mengesahkan menerima laporan kejadian.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan