Sabtu, 11 Februari 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Biar jalan rosak

Posted: 10 Feb 2012 10:24 AM PST

SHAH ALAM: Pengguna yang melalui jalan di kawasan perindustrian Seksyen 23, di sini, berharap pihak bertanggungjawab segera menurap jalan berkenaan kerana jalan yang berlubang di kawasan itu bukan saja menyakitkan mata, malah boleh mengundang bahaya.

Pengguna jalan itu, R Krishanan, 58, berkata sudah lama pihak terbabit tidak menjalankan kerja penyelenggaraan di jalan berkenaan termasuk menurap semula jalan yang rosak.


Katanya, ini menyebabkan jalan itu semakin teruk dan lubang semakin membesar akibat hakisan, sekali gus mengundang kemalangan.

Dia yang juga pengawal keselamatan di sebuah kilang di kawasan perindustrian Seksyen 23, di sini, berkata terdapat banyak lubang di jalan berkenaan.


"Dulu, saya pernah melihat kerja menurap jalan di sini, tetapi sejak beberapa tahun ini, ia tidak dilakukan.


"Akhir-akhir ini kemalangan kerap berlaku di kawasan itu kerana banyak kenderaan melalui jalan itu sebab ia jalan singkat untuk ke Sri Muda, Seksyen 25," katanya.

Pengawal keselamatan, Abu Mohammad Mohd Wakil, 39, berkata sejak bertugas di sebuah kilang di kawasan itu, dia tidak pernah melihat jalan itu diperbaiki.


"Selama setahun saya bekerja di sini, saya tidak pernah melihat mana-mana pihak membaiki atau menurap jalan ini," katanya.

Dia yang sering berulang-alik dari rumahnya di Sri Muda, Seksyen 25, ke tempat kerjanya di Seksyen 23 di sini, dengan menaiki motosikal berharap jalan itu dibaiki secepat mungkin. Tinjauan Harian Metro di Seksyen 23 mendapati terdapat banyak lubang di jalan di kawasan itu.


Sementara itu, Timbalan Pengarah Korporat, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad, berkata pihaknya sudah mendapat maklumat berkenaan perkara itu.


Beliau berkata, pihaknya sudah memaklumkan perkara ini kepada Jabatan Kejuruteraan MBSA.


"Jabatan Kejuruteraan MBSA akan melantik beberapa jurutera untuk menyelesaikan perkara ini. Sehubungan itu, pihak MBSA menasihatkan orang ramai berhati-hati apabila menggunakan jalan itu.


"Mungkin kerja menyelenggara jalan berkenaan dilakukan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi.



MPSJ galak mesra alam

Posted: 10 Feb 2012 10:22 AM PST

SUBANG JAYA: Dalam usaha mengurangkan pencemaran alam sekitar, sekali gus menggalakkan budaya mesra alam, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) semalam melancarkan Kempen Penggunaan Plastik Mapan, di sini.

Yang dipertuanya, Datuk Asmawi Kasbi, berkata usaha itu bertujuan mengurangkan penggunaan plastik konvensional di kawasan terbabit kerana menjadi penyumbang kepada kerosakan alam sekitar.


"Secara purata kita menghasilkan 18,000 tan sisa pepejal setiap hari dan daripada jumlah itu, hanya lima peratus yang boleh dikitar semula setiap hari," katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen berkenaan.

Hadir sama, Exco Negeri Selangor, Teresa Kok Suh Sim dan Timbalan Yang dipertua MPSJ, Abdullah Marjunid Beliau berkata, usaha itu sejajar sambutan ke-15 pentadbiran MPSJ dan langkah itu permulaan memastikan kawasan terbabit diselenggara sebaik mungkin.


Katanya, pemberian plastik percuma dijalankan semalam kepada orang awam termasuk peniaga yang mahu melihat serta mencuba plastik 'bio-degredable' itu dan mereka boleh mendapatkannya di Shah Alam dan Glenmarie.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan