Khamis, 9 Februari 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bungkus bayi dalam plastik

Posted: 08 Feb 2012 10:25 AM PST

TAWAU: "Mujur kami meronda sejam sekali, kalau tidak bayi ini pasti jadi habuan anjing yang banyak berkeliaran di sini," kata pengawal keselamatan, Fredly Suman, 40, yang menemui bayi perempuan masih bertali pusat ditinggalkan di kaki lima bangunan berhampiran pejabat Jabatan Air di Tanjung Batu, di sini, awal pagi semalam.

Menurut Fredly, dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, dia bersama rakannya, Umar Emat, 55, sedang melakukan rondaan di kawasan itu sebelum melihat satu bungkusan plastik di siar kaki bangunan terbabit.


"Pada mulanya, saya menyangka plastik ini berisi sampah dibuang penduduk atau digonggong anjing.

"Tetapi, sebaik membuka plastik ini, saya terkejut melihat wajah bayi yang comel," katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.


Katanya, bayi perempuan itu kemudian menangis tanpa henti menyebabkan dia dan rakan membawanya ke pondok pengawal sebelum menghubungi polis.


Fredly berkata, dia melihat bayi itu seolah-olah kelemasan dalam plastik dengan berbantalkan kain batik ketika membuka bungkusan berkenaan.

"Sebaik dikeluarkan, saya lihat bayi ini masih bertali pusat namun keadaannya seperti sudah dimandikan dengan rambut disisir rapi serta tiada kesan darah di badan," katanya.


Fredly berkata, sepanjang bekerja di kawasan itu sejak 18 tahun lalu, kejadian itu pengalaman pertamanya.

"Mujur saya cepat membuka ikatan plastik itu, jika tidak sudah pasti bayi itu akan mati kelemasan atau menjadi mangsa anjing liar," katanya.


"Selama ini saya hanya membaca kejadian sebegini melalui media, tak sangka pula turut mengalaminya," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin berkata, polis yang menerima laporan bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.


Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, bayi itu dipercayai baru dilahirkan serta berada dalam keadaan sihat dan polis yakin ia baru ditinggalkan di kawasan itu sebelum ditemui pengawal keselamatan berkenaan.


"Buat masa ini, bayi yang cukup sifat ini ditempatkan di Hospital Besar Tawau dan berada dalam pengawasan pihak hospital," katanya pada sidang media di pejabatnya.


Ibrahim berkata, polis sudah menjalankan siasatan termasuk menggunakan khidmat anjing pengesan dari Unit K9 bagi mengesan individu yang membuang bayi itu.


"Mereka yang bertanggungjawab perlu diberkas dan dihadapkan ke mahkamah.


"Polis meminta kerjasama mana-mana hospital, klinik bersalin atau mereka yang mengetahui kejadian ini supaya menghubungi polis dengan segera," katanya.


Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 317, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya.



Amukan jiran

Posted: 08 Feb 2012 10:21 AM PST

KUALA LUMPUR: "Saya menjerit dan berdiri di belakang suami ketika kami diserang jiran yang bersenjata rantai besi dan topi keledar," kata Siti, 33, cedera dipukul jirannya yang berang selepas insiden kemalangan kecil membabitkan dirinya dan suami serta isteri jirannya.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi di Setiawangsa, di sini, kelmarin, pasangan terbabit tergamam apabila jirannya memecah pintu rumah sebelum menyerang mereka.


Menceritakan semula kejadian, Siti, penyelia sebuah pusat beli-belah berkata, sebelum diserang, dia bersama suami yang menunggang motosikal pulang ke rumah dilanggar motosikal ditunggang isteri jirannya.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu berlaku pertengkaran beberapa minit sebelum suaminya meredakan keadaan dan mereka pulang ke rumah kerana motosikal mereka hanya mengalami kerosakan kecil.


"Sangkaan saya kejadian itu sudah selesai meleset apabila tiba-tiba jirannya itu mengamuk dan menyerang kami selepas dimaklumkan isterinya mengenai kemalangan kecil itu.


"Saya yang ketika itu memasak terkejut apabila terdengar dentuman kuat dari luar pintu rumah. Ketika itu, suami berada di ruang tamu sebelum melihat jiran meluru masuk dan memukulnya," katanya.

Siti berkata, lelaki terbabit yang berusia 30-an kemudian melibas rantai besi hingga terkena badan suaminya, malah dia yang berada di dapur meluru keluar membantu, namun turut dipukul lelaki terbabit yang seolah-olah hilang pertimbangan.


"Walaupun puas kami menyuruh jiran itu bertenang dan berbincang, namun lelaki terbabit tidak mempedulikannya sebaliknya semakin ganas menyerang kami.

"Selepas beberapa minit kami cuba mempertahankan diri, akhirnya lelaki itu berhenti sebelum melarikan diri," katanya.


Menurutnya, akibat serangan itu, mereka cedera di kepala dan lebam seluruh badan.


"Saya tidak sangka hanya kerana salah faham menyebabkan dia menyerang kami dan bertindak ganas memecah pintu rumah.


"Saya dan suami hingga kini masih trauma, tambahan pula ini kali pertama ia berlaku," katanya.


Bimbang dengan keselamatan diri dan tidak mahu kejadian sama berulang, mereka membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak untuk tindakan lanjut.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan