Rabu, 8 Februari 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Pangsapuri bergegar

Posted: 07 Feb 2012 10:00 AM PST

SHAH ALAM: Lebih 100 keluarga yang tinggal di Pangsapuri Melur, Cendana, Melati dan Teratai di Seksyen U16, Bukit Subang, di sini, terpaksa dipindahkan ke penempatan sementara selepas kejadian ribut ketika hujan lebat semalam.

Mereka yang dipindahkan itu membabitkan keluarga yang kebanyakan penghuni di tingkat atas empat pangsapuri itu.


Mereka dipindahkan ke surau di pangsapuri terbabit, selain mangsa yang tinggal sementara di rumah saudara masing-masing.

Dalam kejadian jam 3.20 petang itu, lebih 20 kenderaan milik penduduk mengalami kerosakan selepas ditimpa pokok tumbang.


Seorang mangsa yang sarat mengandung, Roshidah Daud, 35, berkata dia tidur bersama anak bongsunya berusia dua tahun apabila dikejutkan anak sulungnya memberitahu hujan lebat dan angin kencang.


"Saya bangun dan terdengar bunyi bising sebelum mendapatkan semua anak-anak yang masih kecil untuk berkumpul dalam satu bilik.

"Ketika itu saya lihat bumbung rumah saya terangkat sebelum ia jatuh semula dan rumah bergegar.


"Saya memeluk erat semua anak sambil memohon kepada Tuhan supaya kami selamat," katanya ketika di temui semalam dan masih ketakutan.

Sementara itu Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi M Zin yang meninjau tempat kejadian berkata, kejadian berlaku singkat dan kali pertama di kawasan itu.


"Ketika ini, mangsa terbabit bermalam di surau berdekatan serta rumah saudara-mara mereka. Jumlah kerugian mungkin mencecah ratusan ribu ringgit dan kami cuba mencari sumber untuk menyalurkan bantuan kepada mereka," katanya ketika ditemui. Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohamad Sani Harul ketika dihubungi berkata, pihak bomba dan penyelamat menerima maklumat daripada orang awam berkenaan kejadian ribut itu jam 3.52 petang "Sebanyak dua jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dan Kota Anggerik dikejarkan ke tempat kejadian dengan kekuatan anggota seramai 11 orang.


"Ketika bomba tiba di lokasi, hujan dan ribut sudah reda dan anggota memotong pokok serta membersihkan kawasan terbabit," katanya.



Diikat bapa rakan wanita

Posted: 07 Feb 2012 09:56 AM PST

AMPANG: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun bukan saja dibelasah bapa rakannya dalam keadaan kedua-dua tangan dan kakinya diikat, malah turut ditarik keluar dari rumah lelaki itu sebelum kepala dan badannya dipijak jiran, malam kelmarin.

Difahamkan, amukan lelaki berusia 30-an terbabit berpunca selepas melihat kelibat remaja itu di dalam rumahnya di Hulu Klang, di sini, bersama anak gadisnya yang juga rakan sekelas mangsa.


Sumber berkata, ekoran tidak berpuas hati melihat kehadiran mangsa dan menyangka menceroboh rumahnya, lelaki itu bertindak agresif dengan membelasah mangsa tanpa usul periksa.

"Kejadian berlaku jam 9 malam selepas lelaki terbabit pulang ke rumah dan melihat mangsa berbual mesra dengan anak gadisnya di ruang tamu.


"Hairan melihat kehadiran mangsa, lelaki terbabit membelasah remaja itu beberapa kali. Mangsa yang terkejut cuba mempertahankan diri dan bertanya kenapa dia dibelasah. Namun, lelaki itu tidak mempedulikannya, malah berlalu pergi dan datang semula ke arah mangsa dengan membawa tali," katanya.


Menurut sumber, lelaki terbabit mengikat kedua-dua tangan dan kaki mangsa dengan tali walaupun cuba dihalang anak gadisnya.

"Mangsa yang dalam ketakutan merayu minta dilepaskan, tetapi tidak dipedulikan sebaliknya mangsa dipukul berulang kali sebelum dia diheret keluar dari rumah.


"Sebaik ditarik keluar dari rumah, lelaki terbabit dipercayai memberitahu beberapa jiran dan rakannya yang tinggal berhampiran dengan mendakwa mangsa menceroboh rumahnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut dilakukan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan