Selasa, 7 Februari 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Beg pakaian berisi mayat

Posted: 06 Feb 2012 10:25 AM PST

KUALA LUMPUR: Mayat seorang wanita warga Indonesia ditemui dengan kesan jerut dan luka di kepala sebelum disumbat dalam sebuah beg pakaian dan diletakkan di depan pintu bilik sebuah hotel di Jalan Raja Laut, di sini, malam kelmarin.

Mayat berkenaan ditemui penghuni hotel jam 10.30 malam di tingkat tiga bangunan empat tingkat itu sebelum memaklumkannya kepada polis.


Menurut sumber polis, mayat wanita warga asing berusia 30-an itu mempunyai kesan jerutan di leher dan luka di kepala dipercayai dipukul dengan objek keras.

Katanya, kejadian itu mungkin dilakukan teman lelaki mangsa yang kini sudah menghilangkan diri.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi berkata polis menerima maklumat orang awam jam 11 malam memaklumkan penemuan mayat wanita disumbat di dalam beg pakaian berkenaan.


Katanya, berdasarkan hasil bedah siasat mangsa mati akibat sesak nafas kesan dari jerutan di lehernya.

"Mangsa dikenali sebagai Rumiyati dan berasal dari Indonesia. Semakan kemasukan pendaftaran hotel menunjukkan mangsa memasuki hotel sejak jam 2 petang semalam.


"Polis mengenal pasti suspek dan usaha memburu giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Kk)," katanya.



Nyaris dibelasah tukar RM100

Posted: 06 Feb 2012 10:24 AM PST

PETALING JAYA: Seorang pemandu teksi nyaris dibelasah pemandu teksi lain gara-gara disangka cuba menipu dengan memberi wang palsu RM100 sebagai duit tukar dalam kejadian berhampiran Masjid Putra, Putrajaya, malam kelmarin.

Menceritakan semula detik yang mencetuskan salah faham itu, Mohd Fairus Ahmad Jahari, 34, berkata dia memperoleh duit palsu RM100 itu daripada tiga penumpang warga Bangladesh berusia 30-an ketika mengambil mereka di stesen transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya, jam 9.30 malam.


Menurutnya, penumpang terbabit meminta untuk dihantar ke Putrajaya dan diturunkan di kawasan masjid berkenaan sebelum menyerahkan wang palsu itu sebagai tambang.

"Saya mengenakan tambang RM42 dan penumpang terbabit menyerahkan sekeping not RM100. Memandangkan saya tidak cukup duit kecil untuk memulangkan baki tambang lalu saya menukar duit RM100 itu dengan pemandu teksi lain.


"Ketika mahu beredar selepas menyerahkan baki tambang kepada penumpang terbabit, tiba-tiba pemandu teksi yang saya temui untuk menukar wang itu menghalang teksi saya sebelum keluar dari kenderaannya dalam keadaan marah," katanya.


Katanya, pemandu teksi terbabit menuduhnya cuba menipu dengan memberi wang palsu dan menahannya bersama empat rakan lain serta hampir memukulnya.

"Berdebar jantung saya apabila dikepung dan dituduh cuba menipu mereka. Bagaimanapun, mereka memahami keadaan sebenar selepas saya menjelaskan memperoleh duit itu daripada penumpang," katanya.


Mohd Fairus berkata, dia dan kumpulan pemandu teksi terbabit berpakat mencari tiga penumpang yang menggunakan duit palsu itu dan menemui mereka dalam kawasan masjid berkenaan.

"Kami mengejar tiga penumpang itu, namun hanya memberkas seorang daripada mereka manakala dua lagi melarikan diri.


"Lelaki terbabit diserahkan kepada anggota peronda polis sebelum dibawa ke Balai Polis Putrajaya, Presint 7, untuk tindakan lanjut," katanya.


Katanya, dia sudah banyak kali ditipu penumpang yang membayar tambang menggunakan wang palsu, namun ini kejadian kali pertama diberi not palsu RM100.


"Saya banyak kali tertipu dengan wang kertas palsu terutama not RM10 dan RM50. Mereka sangat licik apabila cepat-cepat beredar selepas menerima baki tambang sehingga sukar untuk dikesan.


"Penumpang bayar guna duit palsu yang kita tidak boleh gunakan untuk apa-apa. Sedangkan dia dapat baki dari wang tulen," katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Superintendan Mak Pak Chuai, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan dan katanya suspek kini direman seminggu bagi membantu siasatan.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan kerana memiliki dan menggunakan wang palsu dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan