Sabtu, 4 Februari 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Mayat menggelembung disangka patung

Posted: 03 Feb 2012 10:17 AM PST

TANJUNG KARANG: Misteri bau busuk yang dihidu ibu bapa ketika mahu mengambil anak mereka di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Yik Khwan, di sini, semalam, terbongkar dengan penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan menggelembung, di Sungai Kampung Bagan Pasir, bersebelahan sekolah itu tengah hari semalam.

Pengawal keselamatan sekolah berkenaan, Shahrul Nizam Mohd Pamuji, 25, berkata dia menerima aduan ibu bapa pelajar sekolah itu mengenai bau busuk dari arah sungai, jam 12.30 tengah hari.


Menurutnya, dia dan beberapa ibu bapa pergi ke jambatan berhampiran sekolah itu sebelum terlihat sesuatu terapung di sungai berkenaan.

"Kami nampak sesuatu terapung seperti patung di sungai itu. Walaupun kedudukan kami ketika itu kira-kira 50 meter, namun bau busuk amat menusuk.


"Selepas diamati benda yang terapung itu bukan patung, tetapi mayat seorang wanita berbaju tidur.


"Saya menghubungi polis sebelum mayat wanita berusia 30-an itu diangkat pada jam 1.15 tengah hari dengan bantuan bomba," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Karang menggunakan alat khas pencangkuk untuk menarik mayat itu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd Taib Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat sebagai mati mengejut.



Full content generated by Get Full RSS.

Pukul anak hingga berbirat

Posted: 03 Feb 2012 10:15 AM PST

KUALA LUMPUR: Muka dan badannya bukan saja bengkak, tetapi turut dipenuhi kesan berbirat akibat dirotan dengan penyangkut baju oleh bapanya sejak hampir sebulan lalu.

Difahamkan, bapa mangsa yang berusia 36 tahun bertindak kejam merotan dan memukul anak lelakinya itu yang berusia dua tahun kerana tidak tahan dengan tangisan kanak-kanak berkenaan.


Dalam kejadian terbaru jam 5.30 petang di rumah mereka di Kepong, di sini, kelmarin, mangsa sekali lagi 'dibelasah' bapanya hanya kerana enggan berhenti menangis.

Malah, ibu mangsa yang berusia 23 tahun dan cuba mempertahankan anaknya itu turut dipukul.


Tidak tahan menyaksikan penderitaan anak lelakinya, ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Kepong, di sini, jam 11.30 malam.


Menurut sumber, dalam kejadian terbaru itu, kanak-kanak terbabit dipercayai menangis disebabkan kesakitan kerana dipukul suspek.

"Bapa mangsa yang rimas mendengar tangisan anaknya itu naik berang lalu merotan mangsa menggunakan penyangkut baju," katanya.


Sumber berkata, ibu mangsa cuba melindungi mangsa.

"Ibu mangsa turut dipukul hingga cedera di bahu kiri," katanya.


Katanya, suspek meninggalkan rumah berkenaan dan kesempatan itu digunakan ibu mangsa menghubungi rakannya bagi memaklumkan kejadian itu.


"Rakan ibu mangsa datang dan membawa mangsa membuat laporan polis," katanya.


Katanya, mangsa dibawa ke hospital dan dilaporkan masih ditahan di wad hospital berkenaan.


Sebaik menerima laporan kejadian itu, pegawai penyiasat yang mengendalikan kes berkenaan menghubungi bapa mangsa dan memintanya tampil bagi merakamkan percakapan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.


Katanya, bapa mangsa memberikan kerjasama. Selepas percakapannya dirakamkan, dia ditahan bagi membantu siasatan.


Berdasarkan percakapan pengadu (isteri) dan keterangan daripada suspek selain laporan perubatan kanak-kanak terbabit, polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai dera.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan dan penahanan lelaki terbabit, namun enggan mengulas lanjut.


Katanya, siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.



Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan