Khamis, 23 Februari 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Lelaki dipercayai cuba curi kabel elektrik maut

Posted: 23 Feb 2012 04:18 AM PST

SEREMBAN: Seorang lelaki maut terkena renjatan elektrik, dipercayai ketika cuba mencuri kabel elektrik di sebuah pasar raya di Jalan Tuanku Munawir, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, mangsa yang berusia 46 tahun itu ditemui maut dalam keadaan memeluk kabel elektrik, oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Saiful Azly Kamaruddin berkata mangsa yang berasal dari Labu, dekat sini dipercayai seorang penagih dadah dan tidak bekerja.

"Lelaki itu ditemui hanya berseluar tanpa memakai baju dan kasut dalam keadaan memeluk kabel elektrik.


"Dia dipercayai mahu mencuri kabel elektrik pasar raya berkenaan namun terkena renjatan elektrik dan mati di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini.


Katanya, polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut. - Bernama



Wang palsu dikesan di Kulim

Posted: 23 Feb 2012 04:10 AM PST

KULIM: Sebuah pemilik restoran di sini dilaporkan menerima wang palsu daripada pelanggannya yang bernilai RM50.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Ghuzlan Salleh berkata kes itu dikesan apabila pemilik restoran berkenaan yang terletak di Taman Kenari, Tan Khim Pheng, 46, melaporkan bahawa dia telah menerima sekeping not palsu tanpa disedarinya.

Dia dilaporkan memasukkan wang palsu itu bersama segugus wang bernilai RM20,000 ke dalam akaunnya di sebuah bank petang semalam.

"Dua jam kemudian pihak bank menghubunginya memaklumkan bahawa mereka mengesan sekeping daripada wang yang dimasukkannya adalah wang palsu, selepas diimbas," kata Ghuzlan kepada Bernama hari ini.


Difahamkan ramai peniaga lain terutama pengusaha kedai makanan menerima wang palsu tetapi mereka tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa.


"Bahagian hadapan wang palsu itu kelihatan asli manakala mutu cetakannya di bahagian belakang tidak sebagus yang dihadapan.

"Jika dilipat agak sukar bagi seseorang untuk memastikan ketulenannya kecuali menggunakan mesin pengimbas," katanya.

Ghuzlan berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim telah mengambil wang palsu berkenaan dan akan menghantarkannya kepada Bank Negara untuk dianalisis.

Beliau berkata pihaknya percaya terdapat sindiket tertentu yang bertanggungjawab di dalam pengedaran wang palsu dan akan mengesan dalangnya. - Bernama



Tiada ulasan:

Catat Ulasan