Selasa, 21 Februari 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Polis tahan 6 lelaki aktif samun stesen minyak sekitar Subang Jaya, Shah Alam

Posted: 21 Feb 2012 02:35 AM PST

PETALING JAYA: Polis percaya telah menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes samun stesen minyak dan hotel bajet di sekitar Subang Jaya dan Shah Alam menerusi penahanan enam lelaki pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Subang jaya ACP Yahaya Ramli berkata mereka yang berusia antara 17 dan 29 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Subang Mewah, dua hari selepas kes samun terbaru di stesen minyak di USJ 9/3 Jalan Bakti.

Suspek yang terdiri daripada warga tempatan didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta tiada pekerjaan tetap, katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Mengulas kejayaan itu, Yahaya berkata polis mengesan kumpulan terbabit menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak yang disamun pada Rabu lalu.


Hasil rakaman itu, polis mengenal pasti kejadian dilakukan dua daripada

suspek yang mana modus operandinya sama iaitu menggunakan parang, katanya.

Mengulas kejadian 9.50 malam itu, Yahaya berkata seorang daripada mereka yang memakai topi keledar meluru masuk ke dalam stesen minyak terbabit dengan bersenjatakan parang dan menerpa ke arah kaunter, manakala seorang lagi menunggu di atas motosikal.

Suspek kemudian meminta dua pekerja yang ada di situ menyerahkan wang serta beberapa kotak rokok, sebelum menyamun seorang pelanggan yang baru mengeluarkan wang dari mesin juruwang automatik di stesen minyak itu.

"Nilai anggaran kerugian kira-kira RM4,000 termasuk RM500 wang tunai milik seorang pelanggan, RM2,000 wang tunai stesen minyak, telefon bimbit dan beberapa kotak rokok," katanya.

Susulan kejadian itu, polis bertindak memburu suspek dan hasil siasatan mendapati kumpulan tersebut dianggotai enam orang yang aktif menyamun stesen minyak serta hotel bajet di dua daerah berkenaan sejak hujung tahun lalu. - Bernama



Telefon pintar mampu milik di Malaysia menjelang April

Posted: 21 Feb 2012 02:08 AM PST

KUALA LUMPUR: Telefon pintar baharu yang akan dipasarkan di Malaysia menjelang April, menyasarkan segmen pasaran mampu milik.

Telefon berharga di bawah RM500 itu dimajukan dan dikeluarkan di Malaysia
oleh sebuah syarikat tempatan, DMD Mobile Sdn Bhd.


Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Mohammed M Daud, berkata syarikat itu sedang berunding dengan penyedia-penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi "DMD Android Smartphone Communicator", yang mempunyai kapasiti menampung rangkaian 3.75G dan kelajuan 650 Mhz bagi pemproses utama.

"DMD Android Smartphone Communicator dengan ciri Komunikasi Medan Dekat serta ciri-ciri dan aplikasi khusus lain, boleh menjadi penanda aras bagi industri ini di negara ini," katanya pada majlis pelancaran telefon pintar itu di sini hari ini.

Mohammed berkata telefon itu ditawarkan dengan platform perkhidmatan lengkap bagi pasaran prabayar, termasuk komunikasi bersepadu dan sembang, emel mudah alih dan rangkaian sosial.

"Ia akan ditawarkan bersama dengan pakej mudah alih dan komunikasi dalam talian dengan bayaran RM10 sebulan," katanya.

Menurutnya DMD Mobile akan juga memasarkan telefon itu di Asia Selatan dan Timur Tengah.

"Kami akan melancarkan pemasaran antarabangsa pada Kongres Mudah Alih Sedunia di Barcelona pada 28 Februari," katanya.

Mohammed berkata telefon pintar itu merupakan pencapaian penting dan ia membuktikan bahawa syarikat-syarikat Malaysia mampu mencipta inovasi dan bersaing dalam sektor telefon mudah alih.

Beliau berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyediakan sokongan Penyelidikan dan Pembangunan bagi projek itu. - Bernama



Tiada ulasan:

Catat Ulasan