Sabtu, 18 Februari 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Malaysia gagal raih tempat ketiga, kalah 2-3 kepada Indonesia

Posted: 18 Feb 2012 01:29 AM PST

KUALA LUMPUR: Malaysia menamatkan saingan pusingan kelayakan Piala Thomas Zon Asia di tempat keempat selepas kalah 2-3 kepada Indonesia pada perlawanan pusingan penentuan di Macau hari ini.

Bagaimanapun, di sebalik kekalahan itu, Malaysia telah layak ke pusingan akhir Piala Thomas di Wuhan, China dari 20 hingga 27 Mei ini selepas menumpaskan India 3-0 pada peringkat suku akhir, Khamis lepas.

Sekali lagi dengan ketiadaan pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, skuad negara terpaksa akur dengan kedudukan tersebut.

Malaysia mendahului pihak lawan dengan mata pertama dari Liew Daren selepas menang mudah atas penarikan diri pemain perseorangan utama Indonesia, Simon Santoso selepas mendahului 7-2 pada set pertama.


Skuad negara meraih mata kedua menerusi gandingan Goh V Shem/Hoon Thien How apabila menundukkan Alvent Yulianto Chandra/Hendra Aprida Gunawan 21-14, 21-18 dalam masa 26 minit.


Bagaimanapun Indonesia bangkit mendapat mata pertama dari pemain perseorangan kedua, Tommy Sugiarto apabila mengalahkan Mohammad Arif Abdul Latif 21-15, 21-7.

Indonesia menyamakan kedudukan menerusi beregu nombor 10 dunia Markis Kido/Hendra Setiawan yang mengatasi beregu negara Lim Khim Wah/Teo Kok Siang dengan 21-16, 21-13.

Percubaan Koo Kien Keat sebagai pemain perseorangan ketiga negara tidak berhasil setelah tunduk kepada Dionysius Hayom Rumbaka 8-21, 9-21.

Juara bertahan China dijadualkan bertemu pasukan Jepun bagi penentuan juara dan naib juara pada perlawanan akhir pusingan kelayakan esok. -- BERNAMA



Rumah ditimbus tanah runtuh di Lahad Datu, dua maut

Posted: 18 Feb 2012 12:50 AM PST

LAHAD DATU: Dua orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, maut apabila sebuah rumah di lereng bukit di Kampung Terusan yang didiami mereka, tertimbus dan ranap dalam kejadian tanah runtuh awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Mohd Apandi Mahmood berkata mangsa pertama, kanak-kanak perempuan yang dikenali sebagai Nisdawati Jamal, dijumpai pasukan mencari dan menyelamat pada 10.55 pagi manakala mangsa kedua, Faridah Jompah, 40, dijumpai 15 minit selepas itu.

Katanya kedua-dua mangsa yang mempunyai kaitan kekeluargaan itu, ditemui dalam sebuah bilik di rumah yang ranap sama sekali akibat runtuhan tanah bersama pokok kelapa sawit dan pokok-pokok kayu.

Menurut Mohd Apandi, semasa kejadian, tujuh orang berada dalam rumah berkenaan namun empat daripadanya dapat menyelamatkan diri manakala seorang lagi, walaupun terselamat namun mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Lahad Datu.


Mangsa yang cedera parah dikenali sebagai Masdar Naning, 50, manakala dua anak lelakinya Suhardi, 24, dan Mohd Azizul, 14, serta anak perempuannya Mariam, 19, terselamat.


Turut terselamat dalam tragedi itu ialah cucu Masdar, Nurasheema Umaira Abdul Rashid yang berusia empat bulan.

Katanya pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira 2.53 pagi sebelum mengejarkan anggotanya ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

Operasi mencari dan menyelamat yang disertai anggota bomba, polis dan Jabatan Pertahanan Awam dihentikan tengah hari tadi. -- BERNAMA



Tiada ulasan:

Catat Ulasan