Rabu, 15 Februari 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Pelajar perempuan ditahan bantu siasatan kes buang bayi

Posted: 15 Feb 2012 03:48 AM PST

KOTA BAHARU: Polis menahan seorang pelajar perempuan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang bayi perempuan dalam sebuah baldi di bilik air surau sebuah kolej swasta di Kampung Kandis, Telong, Bachok, di sini semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pelajar berusia 21 tahun itu, ditahan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Teras, Sering, dekat sini, kira-kira 11.30 pagi ini.

Suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori, katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Jalaluddin berkata berdasarkan laporan bedah siasat dari Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini, bayi itu dipercayai mati kerana lemas akibat dimasukkan ke dalam baldi dalam keadaan kepalanya ke bawah.

Katanya bayi itu mati selepas dilahirkan berdasarkan terdapat susu dalam badannya.

Suspek, anak pertama dari tujuh beradik, mula belajar di kolej itu pada Jun 2010 dan dijangka menamatkan pengajian dalam bidang makmal perubatan pada Mei tahun depan. - Bernama



Dua beradik maut dalam kebakaran di Menggatal

Posted: 15 Feb 2012 01:23 AM PST

KOTA KINABALU: Dua beradik mati dalam kebakaran di rumah dua tingkat yang didiami mereka di Kampung Gudon, Menggatal dekat sini, malam semalam.

Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Affendy K Ramin berkata mangsa Nurshazwani Hafize, 7, dan Nurafendi Ashraf Hafize, 2, dipercayai terperangkap di tingkat atas rumah itu kira-kira 10.40 malam.

"Rumah dua tingkat itu juga didiami bersama 10 anggota keluarga lain yang terselamat," katanya.

Affendy berkata bomba menerima panggilan pada pukul 11.09 malam dan tiba di tempat kejadian kira-kira 20 minit kemudian.


Beliau berkata empat jentera bomba dengan 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Lintas berjaya mengawal kebakaran kira-kira 20 minit kemudian.


"Pihak bomba masih menyiasat punca sebenar kebakaran itu manakala jumlah kerugian juga masih belum dapat dipastikan," katanya.

Kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat. - Bernama



Tiada ulasan:

Catat Ulasan