Selasa, 14 Februari 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


BR1M bukan rasuah: Ketua Pesuruhjaya SPRM

Posted: 14 Feb 2012 04:52 AM PST

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 adalah rasuah dari Kerajaan.

Ketua Pesuruhjayanya Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata bantuan itu adalah untuk meringankan beban rakyat terutama golongan miskin.

"Itu (BR1M) bukan rasuah," kata beliau semasa sesi soal jawab mengenai 'Memperkukuh Integriti dan Menghapus Penipuan Perolehan' pada Forum Perolehan Kebangsaan untuk Sektor Awam dan Swasta 2012 di sini hari ini.

Beliau berkata terpulang pada rakyat untuk memutuskan sama ada mereka puashati dengan usaha kerajaan itu dan bukan menerusi dakwaan parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan.


"Jika mereka (rakyat) tidak menyukainya, beritahu (kerajaan)...biarkan orang ramai membuat keputusan," kata beliau.


Abu Kassim berkata negara-negara Barat juga ada melaksanakan skim seumpama itu. - Bernama



AirAsia lancar jualan besar-besaran pertama tahun ini

Posted: 14 Feb 2012 04:50 AM PST

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan kos rendah, AirAsia, kini sedang menganjurkan Jualan Besar-Besaran di kesemua laluan AirAsia dan AirAsia X, dengan bayaran tambang keseluruhan sehala serendah RM19.

Promosi itu diadakan dari 15 Februari hingga 19 Februari dan tempoh perjalanan ialah dari 11 September, 2012 hingga 31 Januari, 2013, demikian menurut AirAsia di dalam kenyataan hari ini.

Tambang meliputi kesemua bayaran sehala dari RM19 ke destinasi domestik seperti Alor Setar, Pulau Pinang, Langkawi, Kota Bahru manakala penerbangan ke destinasi di Sabah dan Sarawak termasuk Kuching, Bintulu, Sibu dan Miri sahaja bernilai RM29 sehala.

Syarikat penerbangan itu berkata penumpang juga boleh terbang ke destinasi popular seperti Bali, Phuket, Singapura dan Bandaraya Ho Chi Minh pada harga dari RM49 dan ke tempat lain seperti Hanoi, Da Nang dan Siem Reap dari RM89.


Sebagai tambahan, tambang ke destinasi termasuk Guangzhou, Hong Kong, Macau, Guilin, Shenzhen dan Colombo ditetapkan dari RM139 sehala.


Sementara itu, AirAsia X menawarkan tambang serendah RM169 sehala ke Jepun (Osaka dan Tokyo) dan China (Hangzhou, Tianjin dan Chengdu) dan RM199 sehala ke Seoul, Taipei dan beberapa destinasi di Australia.

Bagi melengkapi tempahan penerbangan, AirAsiaGo akan turut menawarkan pakej hotel dari serendah RM89.

Bagi yang berminat, boleh mendapatkan butiran dari laman web AirAsia di www.airasia.com - Bernama



Tiada ulasan:

Catat Ulasan