Isnin, 13 Februari 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


6 R&R ditutup sementara pagi hingga petang mulai esok

Posted: 13 Feb 2012 03:40 AM PST

KUALA LUMPUR: Enam kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) akan ditutup sementara antara 8 pagi dan 5.30 petang secara berperingkat mulai esok hingga Khamis untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (Plus Berhad) dalam kenyataannya hari ini
berkata, R&R terlibat ialah R&R Ulu Bernam di KM398.80 arah Utara dan R&R

Dengkil di KM22.90 arah Utara Lebuhraya ELITE ditutup esok.

R&R Dengkil di KM24.30 arah Selatan; R&R Machap di KM74.80 arah Utara dan R&R Seremban di KM274.40 arah Selatan ditutup pada hari Rabu manakala R&R Seremban KM272.20 arah Utara ditutup pada hari Khamis.


Menurut kenyataan itu, semua gerai dan kemudahan awam akan ditutup pada waktu itu kecuali stesen minyak. - Bernama



Telinga anggota polis hampir putus digigit suspek kes tipu

Posted: 13 Feb 2012 03:37 AM PST

KUALA TERENGGANU: Seorang anggota polis berpangkat konstabel berumur 23 tahun hampir putus telinga kiri akibat digigit seorang suspek yang cuba melarikan diri selepas ditahan semalam.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri ACP K Manoharan berkata suspek lelaki berusia 34 tahun dari Batu Rakit ditahan atas kesalahan cuba menipu di sebuah kedai serbaneka di Kampung Pok Jin, tidak jauh dari tempat kejadian iaitu di Balai Polis Gong Badak.

Beliau berkata kejadian berlaku pada kira-kira 9 malam.

"Ketika mangsa sedang membuat laporan berhubung tangkapan itu, suspek memberitahu ingin muntah dan meminta supaya dia digari di bahagian depan.


"Ketika anggota berkenaan membawa dia ke bahagian depan balai, suspek terus menolak anggota polis berkenaan dan melarikan diri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya hari ini.


Bagaimanapun, mangsa berjaya mengejar suspek yang lari keluar dari kawasan balai berkenaan sebelum berlaku pergelutan di kawasan semak, dan selain digigit telinganya, anggota polis berpangkat konstabel itu dicekik.

Keadaan itu menyebabkan mangsa terpaksa mengeluarkan pistol serta melepaskan dua das tembakan, dan satu daripadanya terkena kaki kiri suspek.

Manoharan berkata selepas tembakan dilepaskan, anggota polis itu dibantu rakannya dan mangsa serta suspek dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.

"Akibat kejadian, anggota polis berkenaan, yang turut cedera di bahagian tangan, terpaksa menerima lapan jahitan pada bahagian telinganya," katanya sambil menambah mangsa dan suspek dilaporkan stabil dan masih dirawat di hospital berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dan menghalang tugas penjawat awam. - Bernama



Tiada ulasan:

Catat Ulasan