Ahad, 12 Februari 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Anggota polis, anak tiri ditemui lemas, seorang lagi masih hilang

Posted: 12 Feb 2012 01:15 AM PST

KUANTAN: Seorang anggota polis dan anak tirinya lemas manakala seorang lagi anak tirinya masih belum ditemui selepas mereka mandi-manda di Pantai Kampung Budaya Cherating, dekat sini, petang semalam.

Mayat Lans Koperal Asri Kamis, 28, yang bertugas di Balai Polis Mentakab ditemui orang ramai berhampiran kuala Sungai Cherating iaitu kira-kira lima kilometer dari pantai tersebut pada pukul 6.50 petang.

Mayat anak tirinya, Muhammad Hasryzam Hasry, 15, pula ditemui pada 3 petang ini oleh pasukan mencari dan menyelamat di Teluk Kemboja, tujuh kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata seorang lagi anak tiri Asri iaitu Muhammad Hairul Nizam Hasry, 14, bagaimanapun masih belum ditemui sehingga kini.


Katanya mangsa bersama lima anggota keluarganya datang ke pantai berkenaan pada pukul 4.15 petang sebelum kedua-dua anak tirinya itu turun mandi berhampiran Chalet Duyung pada pukul 4.45 petang dan kemudian diikuti oleh Asri.


Menurut isteri mangsa, Norsaharulizam Osman, 32, ketika suami bersama dua anak lelakinya itu sedang mandi, dia membawa dua anak perempuannya yang berusia 11 dan enam tahun pergi mandi di kawasan berhampiran.

"Ketika pukul 5.30 petang saya tidak nampak kelibat suami dan anak-anak di pantai jadi saya ingatkan mereka sudah naik ke darat dan saya pun bawa anak-anak perempuan pergi mandi," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Katanya sebaik sahaja kembali ke tempat mereka berkelah, dia mendapati orang ramai dan anggota polis berkerumun di situ sebelum dia diberitahu bahawa suaminya lemas manakala dua anaknya hilang.

Mohd Jasmani berkata mayat Asri dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan dan kemudian dibawa ke kampung halamannya di Kampung Jening, Gurun, Kedah untuk dikebumikan.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat dijalankan sejak 8 pagi ini oleh 150 anggota yang terdiri daripada Polis Marin, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela dan penduduk kampung. -- BERNAMA



Coklat rasa tempatan termasuk cabai, jamu di pasaran Indonesia

Posted: 12 Feb 2012 12:46 AM PST

JAKARTA: Coklat rasa cabai yang pedas, rasa jamu dan rasa serunding daging mungkin kedengaran aneh tetapi ia telah ada di pasaran Indonesia.

Sebagai tarikan, coklat keluaran beberapa industri kecil dan sederhana di republik itu menggunakan jenama berciri tempatan seperti 'Monggo', 'Coklat Tolak Miskin' dan 'Sesuwatu Banged', demikian dilaporkan akhbar mingguan Kompas, Ahad.

Kreativiti pengeluar dalam mempromosi ciri-ciri tempatan turut kelihatan dalam pemasarannya seperti iklan yang memaparkan sepasang nenek dan datuk dari sebuah kampung yang sedang tertawa sambil menggenggam sebatang coklat berjenama tempatan di tangan.

Laporan itu menyebut coklat berjenama Monggo keluaran Kotagede, Yogyakarta misalnya yang dimulakan sejak tahun 2003, mengeluarkan coklat rasa cabai dan halia, dan dianggap perintis dalam perusahaan coklat berciri tempatan yang berkualiti baik.


Keluaran Monggo kini mencapai lima tan coklat sebulan dengan hasil jualan berjumlah Rp5 bilion setahun.


Sementara itu perusahaan coklat di Garut, Jawa Barat yang dimulakan pada 2009 mengeluarkan coklat dengan nama 'Chocodot' iaitu gabungan kata coklat dan dodol yang merupakan penganan khas Garut.

Chocodot memadukan coklat dengan dodol, aneka biji kopi nusantara, kurma hingga serunding daging dan serunding ikan.

Sambutan hangat terhadap Chocodot oleh pelancong yang melawat Garut telah mendorong pengusaha lain untuk mengikuti jejaknya seperti Coklat Roslyn keluaran Restoran Cibiuk dan Chocdol keluaran pengusaha Dodol Picnic.

Coklat Roslyn misalnya memadukan coklat dengan 'kremes' iaitu penganan goreng yang dibuat daripada parutan ubi keledek dan gula, manisan buah-buahan, hingga kerepek jagung.

Di Yogyakarta juga, pendatang terbaru pada akhir tahun 2010 ialah 'Coklat Roso' yang mengeluarkan coklat rasa jamu seperti beras kencur, kunyit dan gula asam.

Ramuan jamu dan cabai yang membentuk ciri tempatan dalam coklat itu, bukan perisa tiruan tetapi daripada bahan asli, misalnya halia segar yang telah dijadikan manisan terlebih dahulu sebelum digunakan untuk pembuatan coklat itu, kata laporan itu. -- BERNAMA



Tiada ulasan:

Catat Ulasan