Selasa, 14 Februari 2012

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Menang RM17j nyawa terancam

Posted: 13 Feb 2012 11:47 AM PST

KUALA LUMPUR: Dia mungkin seorang pakar permainan judi komputer apabila menang pertaruhan RM17 juta, namun kemenangan itu bukan saja gagal menjadikannya jutawan, malah nyawanya terancam sehingga memaksa dia mendapatkan perlindungan.

Itu nasib lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Alwi, 35, apabila dia kini diburu serta diancam bunuh anggota kumpulan kongsi gelap selepas tauke pusat siber tempat dia bermain berang dengan tindakannya menuntut wang kemenangan RM17 juta itu.

Alwi berkata, segala-galanya bermula apabila dia bermain satu permainan judi komputer dikenali sebagai 'Football Fever' dengan nilai pertaruhan RM50 di sebuah pusat siber di Taiping, hujung bulan lalu.

"Hasil pertaruhan RM50 itu, saya menang RM1,400 dan menggunakan semua wang itu sebagai pertaruhan untuk terus bermain sehingga mengumpulkan RM140, 000 dalam masa kurang setengah jam.


"Walaupun jumlah wang kemenangan itu sudah banyak, tapi saya tak mengambilnya atau istilah yang sering digunakan 'cuci duit'. Sebaliknya saya gunakan sebagai pertaruhan hingga menang lebih RM17 juta," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.



Pesan IPhone 4s dapat berus cat

Posted: 13 Feb 2012 11:47 AM PST

JOHOR BAHRU: "Saya terkejut selepas membuka kotak dikirim apabila mendapati ia hanya mengandungi berus cat terpakai, komik berbahasa Cina serta telefon mainan dan bukannya iPhone 4s yang menjadi idaman," kata Faizal Hussin, 41, dari Taman Impian Jaya di sini, semalam.

Faizal yang juga pengurus sebuah syarikat swasta di sekitar bandar raya ini berkata, dia kerugian RM1,750 selepas diperdaya sindiket penjualan telefon bimbit terbabit yang beroperasi menerusi laman web.

Mengimbau kejadian, Faizal berkata, ketika melayari portal pengiklanan sindiket terbabit pada 3 Januari lalu, dia tertarik dengan iPhone 4s yang ditawarkan pada harga RM1,750 seunit oleh Jay One Communication and Services memandangkan harganya lebih murah berbanding harga pasaran iaitu sekitar RM2,400.

"Saya menghubungi nombor tertera untuk membuat pertanyaan berkaitan telefon bimbit berkenaan sebelum diminta memasukkan bayaran ke akaun bank tertera nama Yow Wei Xian.


"Telefon bimbit berkenaan pula dijanjikan dalam tempoh dua hari menerusi Poslaju. Kiriman itu tiba dua hari kemudian iaitu pada 5 Januari lalu, namun saya terkejut mendapati ia hanya berus cat terpakai, komik serta telefon mainan," katanya.


Faizal mendedahkan perkara itu pada prosiding Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), semalam.

Menyambung keterangannya, Faizal berkata, dia berusaha mengesan alamat syarikat terbabit berdasarkan nombor akaun bank penerima bayaran berkenaan iaitu di Muar.

"Saya ke premis itu dan mendapati ia rumah yang disewa beberapa lelaki Melayu.

"Pada 10 Januari lalu, saya terkejut apabila membaca laporan Harian Metro yang mendedahkan seorang bekas pegawai bank menerima lesung batu selepas membayar RM3,250 untuk membeli tiga unit telefon pintar daripada syarikat sama," katanya.

Faizal memfailkan tuntutan berkenaan kepada TTPM dengan harapan mendapat pembelaan sewajarnya dan menamakan Jay One Communication and Services dan penama akaun, Yow dalam tuntutannya bagi mendapatkan ganti rugi berikutan penipuan itu.

Presiden TTPM, Maznah Haron kemudian memerintahkan penentang kedua iaitu Yow selaku pemegang akaun yang menerima wang pembelian telefon bimbit terbabit mengembalikan RM1,750 kepada mangsa dalam tempoh 14 hari.

Tuntutan yang difailkan terhadap Jay One Communication and Services pula dibatalkan. Ketika prosiding, Jay One Communication and Services dan Yow tidak hadir untuk mengemukakan hujah bagi mengetepikan tuntutan difailkan terhadap mereka.

Maznah turut menasihatkan Faizal supaya membuat laporan polis berkaitan kes itu selain lebih peka dan tidak mudah terpedaya dengan barangan yang ditawarkan pada harga murah terutama ketika berurusan menerusi Internet.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan