Isnin, 13 Februari 2012

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


‘Along anak aku...’

Posted: 12 Feb 2012 02:10 PM PST

KUANTAN: "Along anak aku...." Itu rintihan seorang ibu, Norsaharlizam Osman, 32, sebelum rebah selepas melihat mayat anak sulungnya, Muhammad Hasryzam Hasri, 15, diusung pasukan penyelamat dalam tragedi tiga sekeluarga lemas ketika mandi di Pantai Kampung Cherating, dekat sini, kelmarin.

Mayat Muhammad Hasryzam yang dipanggil Along oleh Norsaharlizam ditemui pasukan mencari dan menyelamat jam 3.10 petang semalam.

Kelmarin, mayat bapa tirinya, Lans Koperal Mohd Asri Kamis, 28, yang bertugas di Balai Mentakab, ditemui terapung kira-kira tiga kilometer dari lokasi mereka berkelah pada jam 6.50 petang.

Seorang lagi anak Norsaharlizam, Muhammad Hairulnizam Hasri, 14, yang juga adik Along belum ditemui sehingga jam 9 malam tadi.


Sebelum kejadian, keluarga berkenaan yang terdiri daripada enam orang termasuk dua lagi anak perempuan Norsaharlizam tiba di pantai berkenaan dari Kuala Krau, Temerloh, jam 4.15 petang kelmarin untuk berkelah.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.



Ibu redah asap tebal

Posted: 12 Feb 2012 02:10 PM PST

KUANTAN: "Dalam keadaan kelam-kabut dan asap tebal, saya terpaksa menahan nafas sambil meraba-raba mencari dua anak yang ketika itu terperangkap dalam rumah.

"Walaupun bahaya, saya beranikan diri masuk ke dalam rumah demi nyawa anak yang ketika itu hampir lemas kerana menghidu asap," kata Sarina Mohd Saim, 22, mangsa kebakaran di Kampung Teluk Mahang Dua, di sini, kelmarin.


Dalam kejadian jam 7.40 malam itu, sebuah rumah batu dan papan dihuni lima keluarga membabitkan 25 penghuni musnah dalam masa tidak sampai 15 minit. Kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas rumah papan menyebabkan semua mangsa tinggal sehelai sepinggang dan kerugian dianggarkan lebih RM200,000. Sarina berkata, ketika kejadian, dia dan beberapa penghuni lain berehat di luar rumah sebelum melihat asap dari rumah papan yang terletak bersebelahan.

Katanya, dalam keadaan kelam-kabut itu, dia hanya ingatkan dua anaknya berusia setahun tujuh bulan dan empat tahun yang ketika itu berada dalam rumah.


"Walaupun demam, saya tetap kuatkan semangat untuk masuk ke dalam rumah meredah asap menyelamatkan dua anak saya walaupun tindakan itu membahayakan diri.


"Saya bersyukur semuanya selamat walaupun kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dan kini terpaksa menumpang di Dewan Mat Kilau," katanya.

Bagi Mamat Kadir, 47, kejadian begitu pantas menyebabkan dia tidak dapat berbuat apa-apa sebaliknya hanya mampu melihat api menjulang tinggi.


Katanya, dia yang baru pulang dari kerja cuba sedaya upaya memadam api, tetapi gagal berikutan angin kuat.

Menurutnya, api bermula dari rumah papan sebelum pantas merebak ke rumahnya yang dibina tahun lalu dan kebakaran itu menyebabkan dia kerugian lebih RM180,000.


"Walaupun kami sekeluarga hilang semua harta benda, saya tetap bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku.


"Kejadian ini menjadi sejarah hitam dalam keluarga kami terutama selepas kehilangan bapa mentua dua minggu lalu, kini kami tinggal sehelai sepinggang selepas tempat berteduh musnah dijilat api," katanya.


Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Anuar Hassan berkata, dua jentera bersama 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dan Taman Tas terbabit dalam operasi memadam kebakaran.


"Angin kencang menyebabkan api cepat merebak, kami masih menyiasat punca kebakaran dan nilai kerugian," katanya. Tinjauan mendapati semua 25 mangsa daripada dua keluarga itu kini menumpang di Dewan Mat Kilau. Mereka menerima bantuan bencana alam berupa keperluan harian dan wang tunai RM2,000 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan