Selasa, 21 Februari 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


KPF batal mesyuarat agung

Posted: 21 Feb 2012 03:51 PM PST

Nasional

Mahkamah keluar injunksi halang buat keputusan lupus ekuiti

KUALA LUMPUR: Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Bhd (KPF) membatalkan Mesyuarat Agung Perwakilan Khas yang dijadual berlangsung di sini, hari ini.

Setiausaha KPF, Abidin Abdul Rahman, dalam satu kenyataan semalam berkata pembatalan itu dibuat berikutan perintah injunksi Mahkamah Tinggi Kuantan bertarikh 17 Februari lalu. Jumaat lalu, lapan ahli KPF itu memfailkan permohonan injunksi interim bagi menghalang koperasi berkenaan membuat sebarang keputusan pada mesyuaratnya yang dijadualkan, hari ini.

Peguam yang mewakili mereka, Mohd Haris Abdullah dilaporkan berkata bahawa perintah itu adalah bagi menghalang KPF melupuskan sama ada semua atau sebahagian daripada ekuiti KPF dalam FELDA Holdings Berhad kepada FELDA Global Ventures Holdings Berhad.

Plaintif yang juga peneroka FELDA Jengka 15, ialah Abdul Rahim Abdul Rahman, Rosdi Ismail, Alias Ibrahim, Abdullah Mohd, Rakiah Sulong, Idris Mat Sah, Syed Jamaluddin Syed Muhamed dan Samat L Yusof.

Mesyuarat Agung Perwakilan Khas itu sepatutnya diadakan di Dewan Perdana FELDA, Jalan Maktab di sini bermula jam 3 petang ini.
Dalam pada itu, Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad difahamkan akan mengadakan taklimat pelan kedua penyenaraian berkenaan di sini, hari ini.

Akhbar ini semalam melaporkan, 1,200 perwakilan KPF akan menentukan nasib masa depan 112,635 warga peneroka dan hala tuju agensi itu sebagai organisasi perladangan terbesar dunia dalam mesyuarat agung perwakilan khas, hari ini.

Mesyuarat agung khas itu adalah bagi meluluskan usul cadangan pelupusan pegangan 51 peratus milik KPF dalam FELDA Holdings Bhd, termasuk 10 anak syarikatnya kepada Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH).

Tujuan penjualan itu adalah bagi membolehkan pemindahan aset perniagaan milik KPF kepada FGVH yang akan disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada Mei depan. – BERNAMA

Persefahaman mula di sekolah

Posted: 21 Feb 2012 03:50 PM PST

Nasional

MUHYIDDIN beramah mesra dengan pelajar pada   pelancaran Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia Peringkat Sekolah di Petaling Jaya, semalam.

MUHYIDDIN beramah mesra dengan pelajar pada pelancaran Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia Peringkat Sekolah di Petaling Jaya, semalam.

Murid mesti dididik pentingnya menghormati masyarakat majmuk

PETALING JAYA: Langkah mewujudkan persefahaman yang lebih mendalam mengenai pentingnya menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza agama, haruslah bermula pada peringkat sekolah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, negara dapat menjana kekuatan lebih besar pada depan apabila rakyat tidak melihat kelainan dan perbezaan antara satu sama lain. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu akan membolehkan warga pendidik, guru, ibu bapa dan pelajar mengutamakan kepentingan untuk tidak menyentuh dan menghormati sensitiviti kaum lain.

"(Sebaliknya) kita menghormati kelainan kita, menerimanya sebagai suatu warisan yang kita hargai yang mungkin tidak banyak terdapat di negara lain seperti Malaysia.

"Ada negara yang mempunyai satu agama tetapi mempunyai pelbagai puak, bergaduh dan berperang sesama sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia Peringkat Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman, di sini, semalam.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin berkata, matlamat negara adalah untuk terus mewujudkan persefahaman dan mewujudkan perpaduan bagi memastikan Malaysia mampu menjadi negara yang maju.

Katanya, Malaysia berjaya mencatat pelbagai kemajuan yang besar dan tinggi hasil daripada kerjasama semua bangsa dan penganut agama di negara ini.

"Sama ada kita Islam, Hindu, Buddha, Kristian dan sebagainya, kita dapat terima ini sebagai kepelbagaian dan Malaysia menjadi maju kerana kita berjaya wujudkan suasana yang sebegini.

"Justeru, kita mahu suasana ini kekal dan dapat diterjemah dalam bentuk yang lebih konkrit, maka kita akan dapat menentukan perkara yang lebih utama dalam aspek pembangunan, pendidikan, ekonomi, sosial serta aspek politik," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan