Jumaat, 17 Februari 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Sabah bukan lagi negeri miskin

Posted: 17 Feb 2012 03:54 PM PST

Nasional

NAJIB bersalaman dengan orang ramai pada pelancaran projek Mini Estet Sejahtera (MESEJ) di Kampung Nala, Tungku, Lahad Datu, semalam.

NAJIB bersalaman dengan orang ramai pada pelancaran projek Mini Estet Sejahtera (MESEJ) di Kampung Nala, Tungku, Lahad Datu, semalam.

Jaminan terus nikmati manfaat pembangunan dibawa kerajaan BN

LAHAD DATU: Sabah sudah berganjak daripada status negeri termiskin di Malaysia susulan pelbagai pembangunan dibawa kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, perangkaan purata pendapatan perkapita mendapati Sabah kini berada di tengah-tengah negeri terkaya dan termiskin, manakala negeri paling miskin ialah Kelantan. "Ketika Sabah bersama membentuk Malaysia pada 1963, kemiskinan memang wujud di merata tempat dan mungkin ketika itu lebih 70 peratus rakyat negeri ini miskin dan daif. Selepas sekian lama merdeka, Sabah membangun hasil perjuangan BN dan berpotensi besar untuk terus maju.

"Saya beri jaminan kerajaan tidak akan berhenti melaksanakan agenda transformasi pembangunan lebih besar ke negeri ini dan berusaha memastikan miskin tegar dapat disifarkan di Sabah," katanya berucap melancarkan projek Mini Estet Sejahtera (MESEJ) di Kampung Nala, Tungku, di sini semalam.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. MESEJ Akuakultur Nala dilaksanakan berdasarkan pembangunan insitu dan tanah baru pengkulturan rumpai laut serta penternakan ikan baulu (chanos-chanos).

Projek itu juga membabitkan pembinaan 150 rumah menempatkan kira-kira 70 peserta sejak 17 November tahun lalu.
Najib berkata, bilangan rakyat dikategori miskin di Sabah menurun kepada 7,000 berbanding 30,000 satu ketika dulu dan pencapaian itu hasil usaha berterusan kerajaan negeri serta pelbagai agensi Persekutuan seperti FELDA selain Kementerian Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar.

"Walaupun masih ada yang miskin, kejayaan kerajaan BN dalam menangani masalah kemiskinan di Sabah adalah hebat dan besar.

"Cuba tengok Kampung Nala ini, nilai setiap rumah berharga RM45,000 seunit, belum termasuk kos elektrik dan bekalan air. Jika dicampur, ia bermakna kita memberi RM60,000 kepada penduduk Kampung Nala tanpa meminta bayaran satu sen pun. Percayalah, tiada kerajaan di dunia mempunyai program seperti ini melainkan BN," katanya.

Najib berkata, FELDA memberi sumbangan RM22 juta untuk menjayakan projek MESEJ di Nala dan tiap-tiap tahun agensi itu memperuntukkan RM50 juta kepada kerajaan negeri untuk menjaga nasib rakyat Sabah.

Perdana Menteri berkata, Kementerian Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar juga akan menyalurkan elektrik luar bandar membabitkan 15,455 rumah tahun ini, manakala 68,092 rumah bakal menikmati bekalan air, selain 454.8 kilometer jalan akan dibina di Sabah.

BR1M pastikan kebajikan rakyat sentiasa terjamin

Posted: 17 Feb 2012 03:53 PM PST

Nasional

MUHYIDDIN bersalaman dengan jemaah Masjid Al-Zakirin selepas menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan di Taman Wilayah Selayang dekat Kuala Lumpur, semalam.

MUHYIDDIN bersalaman dengan jemaah Masjid Al-Zakirin selepas menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan di Taman Wilayah Selayang dekat Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 membuktikan pengukuhan ekonomi negara dan bukannya berpaksikan politik semata-mata.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah pertama kali diambil oleh pemimpin negara itu didorong oleh keperluan untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjamin.

Katanya, keputusan memberikan bantuan termasuk BR1M dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas kedua-duanya turun padang di seluruh negara dan menerima pelbagai maklumat daripada rakyat. Sehubungan itu, beliau sekali lagi menegaskan bantuan yang diberikan kepada rakyat bukan untuk memancing undi seperti yang didakwa pembangkang, sebaliknya situasi semasa yang memerlukan kerajaan untuk mengambil langkah itu.

"Perdana Menteri pernah berkata pemberian BR1M adalah satu perkara yang tidak pernah dibuat sebelum ini, bukan kerana kita nak beri saja-saja tetapi rakyat amat memerlukan bantuan ini.

"Kita mahu menjadi negara maju menjelang 2020 dan pada masa sama, kita juga mahu rakyat maju dari segi kehidupan mereka.

"Pakatan pembangkang berkempen di seluruh negara mengatakan kerajaan hari ini tidak bertanggungjawab, kerajaan hari ini tidak faham masalah rakyat dan mengabaikan rakyat sebab itu harga barang naik.
"Bukan kerajaan yang menaikkan harga barang..., kerajaan tidak berniaga sebaliknya disebabkan pelbagai faktor seperti kenaikan harga minyak..., perkara ini bukan saja berlaku di Malaysia tetapi turut berlaku di banyak negara," katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat dan penyerahan BR1M membabitkan kira-kira 3,500 orang di kawasan Parlimen Batu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, di sini, semalam.

Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM600,000 untuk pembinaan surau di kawasan itu selain meluluskan secara dasar pembinaan dewan orang ramai yang dianggarkan bernilai hampir RM3 juta.

Beliau turut menegaskan bahawa negara tidak menghadapi sebarang masalah kewangan sebagaimana yang berlaku di beberapa negara termasuk Greece, Portugal, Sepanyol dan Itali.

Timbalan Perdana Menteri turut menyelar sikap pemimpin pembangkang termasuk Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang hanya tahu mengkritik tetapi gagal membantu rakyat.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan menghadiri taklimat tertutup bersama pemimpin BN Parlimen Batu di Pusat Khidmat BN Batu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan