Rabu, 15 Februari 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Rayuan BR1M dilanjut selepas 15 Mac

Posted: 15 Feb 2012 01:36 PM PST

Nasional

  NAJIB bersama Muhyiddin  pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato’  Onn, PWTC, malam tadi.

NAJIB bersama Muhyiddin pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato' Onn, PWTC, malam tadi.

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia melanjutkan tempoh rayuan permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) selepas 15 Mac depan bagi memastikan mereka yang layak menerima bantuan itu, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, langkah itu memberi peluang kepada mereka yang gagal dalam permohonan lalu untuk mendapatkan bantuan RM500, dan menikmati faedah daripada program berkenaan.

"BR1M adalah satu bentuk bantuan dan faedah yang sangat berkesan dan dihargai rakyat. "Kita ambil maklum jika ada yang tidak diluluskan tetapi difikirkan layak menikmati bantuan itu masih boleh buat rayuan dan rayuan boleh dibuat terus hingga 15 Mac depan.

"Tetapi jika sehingga tempoh itu ada lagi yang difikirkan layak, kita akan lanjutkan tempoh supaya bantuan sampai pada semua," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato' Onn, di sini, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

BR1M mula dibayar mulai 15 Januari lalu dan dijangka mengambil masa dua bulan untuk diagihkan kepada golongan sasaran.
Najib yang juga Pengerusi BN turut mengumumkan mesyuarat malam tadi meluluskan tiga daripada 11 permohonan yang diterima untuk menjadi ahli gabungan BN.

Ia membabitkan Gabungan Wawasan Generasi Felda, Persatuan Bekas Anggota KEMAS Malaysia dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia.

Ditanya mengenai logo 1Malaysia yang diwajibkan ke atas barang kawalan untuk membolehkan pengusaha menikmati subsidi, Perdana Menteri berkata gagasan itu melangkaui politik.

Mengulas mengenai tindakan pakatan pembangkang mahu mengadakan Himpunan Hijau di Kuantan pada 26 Februari ini, Najib berkata, berdasarkan peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2011, mereka berhak untuk berbuat demikian.

Usah keliru soal budaya, akidah

Posted: 15 Feb 2012 01:35 PM PST

Nasional

Perbezaan, persamaan antara kaum perlu jelas difahami: Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, usaha memupuk persefahaman dan kesedaran menerusi perbincangan, majlis dialog dan pendidikan amat penting supaya orang ramai memahami dengan jelas segala perbezaan dan persamaan antara kaum di negara ini.

Perdana Menteri berkata, rakyat umpamanya tidak harus terkeliru dengan apa dimaksudkan soal kebudayaan dan soal akidah agama.

Malaysia menyanjung tinggi keharmonian, kesejahteraan yang dikecapi selama ini hasil pengurusan yang sederhana yang memang selaras dengan ajaran Islam. - Najib Razak, Perdana Menteri

Beliau seterusnya memberi contoh kehadirannya pada sambutan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini, yang dipertikai oleh segelintir pihak apabila beliau memakai baju kurta, iaitu baju tradisional kaum India.

"Tapi orang itu tidak sedar bahawa di India ada berjuta-juta orang India beragama Islam yang memakai kurta hari-hari. Apakah mereka itu tidak beragama Islam?" katanya selepas jamuan makan tengah hari dan majlis ramah mesra dengan pemimpin agama, yang diadakan sempena sambutan 'Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia' di kediaman rasminya Sri Perdana di sini, semalam.

Najib seterusnya memberi contoh pakaian dipakai oleh Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia, Datuk Mustapha Ma, yang menurutnya, mempamerkan ciri kebudayaan Cina, yang tidak seharusnya dikaitkan dengan soal akidah.

"Sudah tujuh keturunan dia beragama Islam. Ini soal kebudayaan bukan soal akidah, jadi isu seperti ini jika kita tak faham, ia boleh menimbulkan kecurigaan atau rasa benci antara kaum.
"Oleh itu, melalui jawatankuasa mempromosi persefahaman dan keharmonian antara penganut agama amat wajar kita terangkan perkara sebegini," katanya.

Najib berkata, dalam kepesatan teknologi maklumat kini, apa juga yang dituturkan pihak tertentu, ia boleh disemarakkan atau menjadi api dalam sekam yang dapat merebak dengan meluas, mengakibatkan dunia hari ini berhadapan persekitaran lebih mencabar, sekali gus menuntut usaha memupuk persefahaman dan kesedaran berterusan.

Beliau berkata, Malaysia menyanjung tinggi keharmonian dan kesejahteraan yang dikecapi selama ini hasil pengurusan yang sederhana yang memang selaras dengan ajaran Islam.

"Walaupun sebelum ini kita tidak gunakan sebutan 'wasatiyyah' (sederhana) sebenarnya dasar kita memang berpaksi kepada konsep wasatiyyah ini seperti mana dikehendaki agama. Antara wasatiyyah ini, termasuk merujuk kepada aspek hormat kepada mereka yang menganut agama lain," katanya.

Najib berkata, ajaran lain juga pada dasarnya mengetengahkan soal kesederhanaan menerusi cara dan sebutan masing-masing.

Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia bertujuan membangkitkan kesedaran dan kesefahaman antara penganut agama, demi keamanan sejagat serta memacu dunia ke arah persekitaran yang lebih sejahtera dan makmur.

Najib berkata, bahawa secara kebetulan, minggu pertama bulan ini agak unik apabila ada tiga acara yang cukup bermakna di Malaysia iaitu sambutan Maulidur Rasul, Chap Goh Mei dan Thaipusam.

"Jadi jika ada negara hendak ditonjolkan sebagai model dalam soal ini (perpaduan kaum), saya fikir tidak ada yang lebih baik dari Malaysia," kata Perdana Menteri.

Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia adalah idea Raja Jordan, Raja Abdullah II dan puteranya Ghazi Muhammad yang menjadi utusan peribadi serta penasihat kepada baginda pada Perhimpunan Agung PBB Ke-65 di New York 2010. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan