Ahad, 12 Februari 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Pusat Maklumat Iskandar Malaysia dibuka

Posted: 12 Feb 2012 01:26 PM PST

Nasional

 SULTAN IBRAHIM     dan   Raja Zarith Sofiah bersama  Najib, Rosmah serta  Abdul Ghani  dan menteri Kabinet  menggaul 'Yee Sang' pada sambutan ulang tahun ke-15 Danga Bay, Johor Bahru, semalam.

SULTAN IBRAHIM dan Raja Zarith Sofiah bersama Najib, Rosmah serta Abdul Ghani dan menteri Kabinet menggaul 'Yee Sang' pada sambutan ulang tahun ke-15 Danga Bay, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU: Pusat Maklumat Iskandar Malaysia (IMIC) bernilai kira-kira RM5 juta yang dibuka mulai semalam, diharapkan dapat meningkatkan lagi kefahaman awam serta pelabur mengenai pelan pembangunan Iskandar Malaysia.

Majlis perasmian IMIC yang terletak di Pusat Konvensyen Danga Bay itu disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. IMIC yang mempunyai keluasan lebih 5,800 meter persegi dilengkapi panel skrin sesentuh interaktif dan kiosk maklumat, dijangka menerima 200,000 pengunjung setahun.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Ismail Ibrahim, berkata IMIC berperanan sebagai ruang interaksi dan komunikasi berpusat antara IRDA dan pihak berkepentingan. Beliau berkata, kemajuan pembangunan dan kerjasama antara agensi, badan kerajaan dan pelabur di Iskandar Malaysia dipamerkan di pusat maklumat terbabit.

"Dengan platform komunikasi sedia ada, orang awam, pelabur dan bakal pelabur ada tempat bagi mendapatkan kefahaman mendalam berkaitan Iskandar Malaysia.

"IMIC kini menjadi forum semua pihak berkepentingan untuk memahami, belajar dan mengambil bahagian apa saja berkaitan Iskandar Malaysia," katanya pada sambutan ulang tahun ke-15 Danga Bay dan Pelancaran Yayasan Danga, di sini, semalam.

Turut mencemar duli, Raja Zarith Sofiah Almarum Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.
Hadir sama pada pelancaran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Prof Datin Paduka Dr Jamilah Ariffin.

Ismail berkata, IMIC dibahagikan kepada beberapa seksyen iaitu melabur, bekerja, bermastautin dan beriadah. Pusat itu dibuka Selasa hingga Ahad bermula jam 10 pagi hingga 7 malam akan menjadi sumber maklumat kepada komuniti setempat, masyarakat serantau, pelabur dan pelawat antarabangsa.

125,000 ditawar sertai program keusahawanan

Posted: 12 Feb 2012 01:22 PM PST

Nasional

Kementerian bantu tingkat sosioekonomi bekas tentera

MERSING: Kementerian Pertahanan mengenal pasti kira-kira 125,000 bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen di seluruh negara untuk menyertai program khas keusahawanan dan peluang kerjaya bagi meningkatkan sosioekonomi mereka.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata menerusi program itu, kementerian menyasarkan untuk melahirkan 1,000 usahawan di kalangan kumpulan terbabit setiap tahun. Beliau berkata, usaha ke arah itu sedang dijalankan melalui ujian psikometrik yang dikendalikan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi mengenal pasti ciri dan minat dalam diri mereka sebelum dilatih menjadi usahawan.

Katanya, setakat ini 2,000 bekas tentera sudah mendaftar untuk menjadi usahawan dan modul khusus untuk mereka dirangka dengan kerjasama MARA, SME Bank serta Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA).

"Program dirangka khusus membantu bekas tentera yang tiada pencen untuk menjana pendapatan bagi meningkatkan taraf hidup mereka dan seterusnya membebaskan mereka daripada masalah kesempitan wang," katanya selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di sini, semalam.

Dr Abdul Latiff berkata, mungkin ramai daripada golongan terbabit mempunyai minat menjadi usahawan tetapi tidak mempunyai ilmu serta kemahiran dalam bidang berkenaan.
"Justeru melalui program yang dirangka ini, kementerian mensasarkan tiga kategori iaitu usahawan baru, kumpulan mempunyai bidang sendiri namun belum berjaya dan kumpulan yang ada bidang sendiri serta berjaya dalam bidang diceburi.

"Mereka yang terbabit akan diberi kemahiran serta ilmu berkaitan untuk menjadi usahawan yang akan dipantau Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT)," katanya.

Katanya kerajaan fokus serta prihatin kepada golongan terbabit dan program tersebut adalah salah satu usaha untuk membantu mereka supaya tidak terdesak menjalani kehidupan sekali gus meningkatkan taraf hidup.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan