Sabtu, 11 Februari 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Kajian pelajar tak minat sains

Posted: 11 Feb 2012 03:11 PM PST

Nasional

IPOH: Masalah kemerosotan ketara minat pelajar dalam jurusan sains di sekolah akan ditangani melalui kajian menyeluruh sistem pendidikan kebangsaan yang sedang dilakukan dan dijangka siap seawal-awalnya akhir tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pasukan yang diberi tanggungjawab mengkaji bagi menambah baik sistem pendidikan itu akan mengemukakan pelbagai cadangan untuk dilaksanakan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Malah, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kajian itu tidak terhad kepada isu bidang sains malah mata pelajaran lain, termasuk Matematik dan bahasa Inggeris. "Kajian ini dibuat oleh pakar yang akan buat perakuan dan cadangan dan kita (kerajaan) akan mengambil (menerima) cadangan itu. Mungkin kajian ini boleh siap sebelum akhir tahun ini atau awal tahun depan," katanya selepas menghadiri Program Pengurusan Pementoran Perkhidmatan Awam dan Majlis Dialog Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Pendidik Perak, sempena lawatan seharinya ke Perak, semalam.

Pada majlis berkenaan beliau turut menyerahkan mok cek bernilai RM12 juta kepada Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin Perak dan RM14.5 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) KAFA Perak.

Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meluahkan kebimbangannya kerana walaupun kerajaan sudah memperkenalkan banyak inisiatif memajukan bidang sains, minat pelajar untuk mengambil mata pelajaran berkenaan di sekolah semakin merosot ke tahap yang kritikal.

Bilangan pelajar yang mengikuti bidang sains secara keseluruhan adalah kira-kira 37 peratus dengan 29 peratus yang dilaporkan sebelum ini hanya membabitkan sains tulen.
Muhyiddin berkata, walaupun pada beberapa peringkat negara mencatat kejayaan agak membanggakan dalam bidang pendidikan, tetapi ada beberapa pihak melihat Malaysia agak terkebelakang dibandingkan beberapa negara lain, oleh itu, kajian dibuat meletakkan mengukur sistem dan kejayaan sedia ada dengan penanda aras antarabangsa bagi mengetahui kelemahan yang ada dalam sistem pendidikan negara.

Sementara itu, ketika menjawab soalan pada sesi dialog, Muhyiddin berkata, beliau secara prinsip bersetuju menyemak semula elaun guru besar yang didakwa terlalu rendah, iaitu RM100 sebulan.

Ketua negara Islam kena kuasai semua bidang

Posted: 11 Feb 2012 03:09 PM PST

Nasional

GOMBAK: Tugas kepemimpinan kini semakin kompleks yang memerlukan pemimpin negara Islam tidak hanya memiliki ilmu kerohanian tetapi pengetahuan serta kemahiran dalam pelbagai bidang untuk membolehkan mereka mempertahankan keselamatan dan kesejahteraan umat seperti disyariatkan agama.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pemimpin umat harus memiliki kedua-dua cabang ilmu pengetahuan berkenaan kerana Islam tidak hanya terbatas kepada kerohanian tetapi adalah gaya hidup meliputi keseluruhan aktiviti manusia dengan berpandukan al-Quran serta hadis.

"Pemimpin hari ini tidak memadai sekadar mampu membuat petikan daripada al-Quran serta hadis dan memberikan penterjemahannya, tetapi mesti berilmu pengetahuan dalam bidang lain supaya memahami keperluan berkaitan yang akan memberi sumbangan penting kepada keselamatan, kesejahteraan, kestabilan, keamanan, kemakmuran dan kebajikan umat. "Pemimpin tidak dapat menerajui umat dan negara dengan baik kerana hanya menumpu kepada salah satu cabang berkenaan, terutama dalam keadaan dunia yang huru-hara kini," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Kepemimpinan dan Perubahan Sosial dalam Dunia Islam: Prospek dan Cabaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, semalam.

Sebagai contoh, Dr Mahathir berkata, pemimpin harus memastikan keselamatan rakyat dipertahankan dengan kemahiran ketenteraan dan keupayaan mencipta senjata canggih terbaru yang memerlukan kemajuan penyelidikan dan pembangunan serta penggemblengan ilmu dalam pelbagai bidang saintifik.

Akibat tiada keupayaan menghasilkan senjata berikutan tidak memiliki ilmu diperlukan, katanya, ada negara Islam kini lemah dan tidak berupaya mempertahankan diri sehingga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar membeli senjata pada kualiti tidak setanding daripada pihak lain.

Dalam konteks ini, Dr Mahathir berkata, umat Islam memerlukan sistem pendidikan bagus yang mendedahkan mereka kepada semua bidang ilmu pengetahuan mencakupi kedua-dua cabang keagamaan dan juga bukan kerohanian, bagi melahirkan pemimpin sedemikian.
Dalam pada itu, beliau berkata, antara peranan pertama terpenting perlu dilakukan pemimpin ialah mewujudkan peluang pekerjaan untuk memberi kehidupan lebih baik kepada rakyat, seperti dilakukan kerajaan negara ini sejak merdeka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan