Jumaat, 10 Februari 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Ekonomi negara berkembang

Posted: 10 Feb 2012 01:43 PM PST

Nasional

SEREMBAN: Datuk Seri Najib Razak, berkata kecekapan pengurusan Kerajaan Pusat memungkinkan perkembangan positif ekonomi negara termasuk kejayaan mencatatkan jumlah dagangan paling tinggi, sebanyak RM1.27 trilion tahun lalu.

Perdana Menteri berkata, jika mengambil kira pendapatan Keluaran Negara Kasar (GDP) sebanyak RM560 bilion, nilai dagangan keseluruhan adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding GDP, sekali gus meletakkan Malaysia antara negara paling tinggi dari segi nisbah antara GDP dan nilai dagangan keseluruhan.

"Ekonomi yang berkembang membolehkan hasil negara bertambah dan dengan kecekapan kutipan hasil, pendapatan negara juga bertambah," katanya ketika majlis penyerahan Rumah Mampu Milik Kampung Abok oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) kepada kerajaan negeri, semalam. Pada majlis di Rahang dekat sini, beliau turut menyerahkan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang.

Turut hadir, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tunku Nujumudin; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor dan Pengerusi SPNB, Datuk Idris Haron.

Najib berkata, hasil negara juga bertambah RM26 bilion bagi tempoh antara 2010 dan 2011 dan membolehkannya membentangkan Bajet 2012 tahun lalu dengan penuh keyakinan untuk membantu rakyat.

Perdana Menteri berkata, projek SPNB di Kampung Abok adalah antara contoh pengurusan ekonomi yang cekap membolehkan hasil kerajaan tinggi diperturunkan untuk membantu rakyat melalui pemberian geran RM10 juta untuk melaksanakan projek itu.
"Rumah yang saya lihat ini bukan kos rendah, tetapi rumah berkualiti. Mana ada kerajaan di dunia ini dapat menyediakan rumah 'town house' kepada mereka yang berpindah sebagai setinggan," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut merasmikan sambutan Perayaan Jubli Emas Ulang Tahun ke-50 Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) dan Perdana Gayong Malaysia Sedunia 2012 di padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini.

Beliau yang juga Imam Khalifah Agung PSSGM, berkata rakyat harus mempunyai jati diri yang ampuh dan minda terbuka untuk menimba segala ilmu bagi memastikan kelangsungan dan identiti bangsa tidak mudah tergadai.

Menyifatkan jati diri ibarat akar pokok, Najib berkata, ia perlu kukuh dan teguh agar tidak mudah dicabut mana-mana pihak.

Kira-kira 6,000 pesilat gayong dari seluruh negara termasuk jemputan dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Syria, Thailand, Indonesia, Singapura dan Tunisia, berhimpun untuk memeriahkan sambutan itu.

Turut hadir Mohamad Hasan yang juga Timbalan Khalifah Agung PSSGM; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam merangkap Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dan Yang Dipertua PSSGM, Datuk Adiwijaya Abdullah.

Perdana Menteri dalam lawatan sehari ke negeri ini memulakan atur caranya dengan mengadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.

Ini diikuti majlis penyerahan projek rumah mampu milik Kampung Abok, Rahang dekat sini. Beliau kemudian menghadiri jamuan makan tengah hari bersama pemimpin negeri, parti komponen Barisan Nasional (BN) dan pegawai kanan kerajaan negeri di sebuah hotel di sini serta menunaikan solat Jumaat di Masjid Kariah Sikamat di sini.

ADUN PKR akui terima elaun lembaga pengarah

Posted: 10 Feb 2012 01:42 PM PST

Nasional

PETALING JAYA: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR yang didakwa terbabit dalam skandal perlombongan pasir di Selangor mengaku menerima bayaran daripada Double Dignity Sdn Bhd (Double Dignity) atas kapasiti sebagai ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan.

ADUN Sri Muda, Mat Suhaimi Shafiei mengaku menerima enam kali pembayaran elaun untuk tempoh Jun hingga Disember 2009, manakala ADUN Batu Caves, Amiruddin Shari menerima tiga kali pembayaran untuk tempoh Oktober hingga Disember 2009.

Suhaimi berkata, dia dipelawa pemilik syarikat Double Dignity, Adnan Abd Mokhtar untuk menganggotai lembaga pengarah syarikat yang menumpukan aktiviti perladangan di Sabah dengan dijanjikan elaun sebanyak RM5,000 sebulan buat permulaan pada Mei 2009. Beliau yang mengakui menyiasat syarikat itu terlebih dulu kemudian menyerahkan dokumen dan maklumat untuk menyempurnakan pelantikan sebagai lembaga pengarah pada Jun 2009 sebelum sekali lagi diminta Adnan untuk mengenal pasti calon sesuai mengisi kekosongan pada September 2009.

"Saya memperkenalkan Amiruddin yang kemudian bersetuju dilantik sebagai Lembaga Pengarah Double Dignity dengan segala butiran pelantikan diserahkan pada September 2009," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, semalam.

Hadir sama, Amiruddin yang juga Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan.

Raja Petra dalam artikel yang disiarkan portal berita Malaysia Today, kelmarin mendakwa ada unsur rasuah dalam urusan mendapatkan kontrak melombong pasir antara Mat Suhaimi dengan seorang kontraktor menerusi beberapa pertemuan di Pulau Pinang dan Subang serta rakaman perbualan telefon mereka.
Laporan itu juga mendakwa Mat Suhaimi meminta wang daripada kontraktor berkenaan antara 15 Ogos 2009 hingga 5 Januari 2010 antaranya RM35,000 untuk perbelanjaan Ramadan, RM10,000 untuk jamuan Hari Raya dan RM50,000 untuk kegunaan pilihan raya.

Mat Suhaimi berkata, semua bayaran diterimanya atas kapasiti sebagai lembaga pengarah kecuali RM10,000 yang diterima pada 30 September 2009 adalah sumbangan derma untuk aktiviti jamuan raya yang ditawarkan Adnan.

Bagaimanapun, katanya, pemberian RM50,000 pada 5 Januari 2010 adalah pembohongan besar yang cuba memfitnah dirinya sedangkan ia pinjaman untuk membantu rakan dinamakan A yang memerlukan wang segera untuk membayar kontraktor bagi kerja ubah suai pusat asuhan kepunyaan A.

"Kali terakhir saya menghubungi Adnan ialah pada 23 Jun 2010 bagi mengembalikan pinjaman sebanyak RM50,000, tetapi Adnan tidak muncul, sebaliknya pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang datang ke pejabat pada 28 Jun 2010.

"Adnan tidak dapat dihubungi hingga kini dan wang berkenaan masih tersimpan dalam akaun syarikat milik pegawai khas saya, Azmin Karim," katanya.

Mat Suhaimi mengecam cubaan mengaitkan fitnah itu dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali melalui perbualan telefon yang disiarkan Raja Petra berhubung permohonan kontrak Double Dignity yang didakwanya tidak wujud.

"Perbualan itu adalah rekaan putar belit dan diselang-seli dengan perbualan sebenar yang mungkin dirakam," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan, mencabar Mat Suhaimi dan Amiruddin membuat laporan polis dan menyaman Raja Petra jika dakwaan tidak benar.

"Perkara ini perlu dilakukan segera bagi membuktikan mereka tidak terbabit dalam skandal rasuah pasir yang membabitkan integriti dan nama baik mereka," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan