Ahad, 5 Februari 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Bersatu kembalikan kekuatan ummah

Posted: 05 Feb 2012 04:34 PM PST

Nasional

Pemimpin digesa musyawarah demi perpaduan

KUALA LUMPUR: Pemimpin Islam tanpa mengira politik disarankan duduk berbincang demi perpaduan dan mengembalikan semula kekuatan ummah supaya terus dihormati.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengingatkan umat Islam supaya sentiasa berusaha ke arah mengembalikan kekuatan ummah melalui kekuatan iman, ekonomi, ilmu dan perpaduan."Orang Islam akan menjadi bangsa yang gagah dan dihormati jika mereka bersatu," titah baginda pada sambutan Maulidur Rasul yang menyaksikan lebih 15,000 orang berarak dari Dataran Shah Bandar ke Stadium Negeri.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar ketika bertitah di Muar mengingatkan umat Islam tidak menabur fitnah dan mudah percaya dengan maklumat yang disebarkan melalui internet serta SMS yang belum tentu kesahihannya.

Titah baginda, umat Islam perlu sentiasa mengamalkan cara hidup yang berlandaskan syariat, memberi contoh yang baik kepada masyarakat, sekali gus meninggalkan perbuatan yang membinasakan.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah kemiskinan ummah akan menjadi lebih buruk jika pemimpin lebih mengutamakan kekayaan peribadi, keluarga dan kelompok berikutan ia diperoleh secara mendadak akan melahirkan individu yang hanya kaya sementara.
"Kekayaan material seumpama itu yang tanpa dilengkapi kekayaan minda, intelek, ilmu dan rohani adalah kekayaan palsu serta sekadar melahirkan budaya kemewahan, bermegah dan pembaziran, " titah baginda di Parit.

DI SEREMBAN, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, persefahaman dan perpaduan umat Islam boleh dicapai menerusi penghayatan ke atas prinsip Wasatiyyah yang terkandung dalam ajaran Islam.

Titah baginda, Wasatiyyah boleh diterjemahkan sebagai pendekatan sederhana yang terhasil daripada bimbingan Tuhan dan terbit daripada kefahaman terhadap panduan agama.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika bertitah di Kuantan, mahu semua pemimpin Islam tanpa mengira politik disaran duduk semeja demi perpaduan dan ummah.

Baginda bertitah, pertemuan dan perbincangan itu penting bagi mengelakkan berlaku perpecahan di kalangan umat Islam yang semakin ketara kerana tiada persefahaman yang wujud di antara mereka.

Di KOTA KINABALU, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, berkata umat Islam perlu membanteras perkara yang boleh mengancam akidah, ketenteraman masyarakat dan keselamatan negara, termasuk usaha mengiktiraf hak golongan lesbian, gay, biseksual serta transeksual.

Di KEPALA BATAS, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata pemimpin perlu mencontohi pemerintahan Nabi Muhammad di Madinah yang memberikan perhatian saksama terhadap umat Islam dan bukan Islam.

Di MELAKA, 11,057 peserta daripada 198 kontinjen mewakili pelbagai agensi kerajaan, swasta, pihak berkuasa tempatan dan penduduk menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diketuai Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Full content generated by Get Full RSS.

179 YB di tangan pengundi muda

Posted: 05 Feb 2012 04:32 PM PST

Nasional

Pemuda UMNO lipat ganda usaha daftar ahli sebagai pengundi hadapi PRU-13

PARIT: Pemuda UMNO mendedahkan 179 daripada 222 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang, bakal ditentukan golongan muda berusia bawah 40 tahun.

Pengerusi Biro Daftar Pemilih dan Keahlian Pemuda UMNO Malaysia, Hisamuddin Yahaya, berkata bagi menghadapi fenomena itu, Pemuda UMNO perlu memastikan 40,000 ahlinya yang masih belum mendaftar sebagai pengundi didaftarkan segera. "Malah, bagi mencapai matlamat itu, semua Ketua Pemuda UMNO Bahagian sudah diarah supaya turun padang untuk mendaftarkan mereka secepat mungkin bagi memastikan ahli Pemuda UMNO dapat memberi undi kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam PRU-13.

"Kita juga akan memberi tumpuan khusus di Sabah kerana lebih 20,000 daripada 40,000 ahli Pemuda UMNO di negeri itu masih belum mendaftar sebagai pengundi.

"Kajian mendapati kebanyakan mereka gagal mendaftar kerana berhijrah ke Semenanjung, selain lokasi penempatan mereka jauh di pedalaman dan pulau terpencil," katanya pada sidang media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Badminton Sekolah-Sekolah Daerah Perak Tengah di Dewan Sekolah Menengah Datuk Abdul Rahman Yaakob, di sini, semalam.

Hisamuddin juga meminta Jawatankuasa Daftar Pemilih dan Keahlian Pemuda UMNO meneruskan usaha mencari dan mendaftarkan ahli baru walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak belum mengumumkan tarikh pilihan raya.
"Kita tidak mahu jawatankuasa memberhentikan usaha mendaftar pengundi kerana tarikh pilihan raya masih belum diumumkan lagi. Malah, Pergerakan Pemuda menjadikan pendaftaran ahli dan pengundi baru khususnya di kalangan anggota UMNO dan pendaftaran pengundi muda sebagai fokus utama.

"UMNO bahagian juga diharap dapat meneliti senarai keahlian mereka bagi memastikan semua ahli yang berusia 21 tahun dan layak mengundi diingatkan untuk segera mendaftar sebagai pengundi," katanya.

Hisamuddin berkata, sehingga kini seramai 600,000 ahli Pemuda berjaya didaftarkan sebagai pengundi dan jika semua pengundi terbabit keluar mengundi pada PRU-13 nanti, BN boleh menguasai dua pertiga kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan