Sabtu, 4 Februari 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


PAS dikuasai 'parasit politik' PKR, DAP: Hasan

Posted: 04 Feb 2012 03:11 PM PST

Nasional

HASAN Ali ketika berucap pada Ceramah Cabaran Umat Kini, di Dataran Bukit Naning, semalam.

HASAN Ali ketika berucap pada Ceramah Cabaran Umat Kini, di Dataran Bukit Naning, semalam.

Bekas EXCO Selangor enggan buat rayuan pemecatan sebagai ahli parti

MUAR: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali mendakwa parti itu kini dikuasai 72 peratus pemimpin berfahaman sekular yang 'tidur sekatil' dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bagi memenuhi matlamat mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Hasan yang juga bekas EXCO kerajaan Selangor berkata, pemimpin 'parasit politik' itu juga sanggup menggadaikan Islam dan mengetepikan al-Quran, hadis dan itjmak ulama untuk bersengkongkol dengan kedua-dua parti pembangkang itu. "Saya berpendidikan sekular tetapi menyertai PAS kerana tertawan dengan cogan kata parti itu dan kepemimpinannya golongan ulama yang berpendidikan dari Mesir dan Jordan tetapi kini kasihan golongan ulama PAS yang hanya tinggal sedikit saja.

"Malah pemimpin 'parasit politik' ini dengan berani meminta saya bersabar dan saya ingat lagi apa yang dikatakannya 'You (anda) sabarlah sikit... You ikut saja... You main mata dengan DAP dan PKR ini... waktu kita dapat takluk Putrajaya, baru kita martabatkan Islam.

"Ini jawapan saya kepada pemimpin parasit ini 'pergilah'. Bayangkan jika daripada awal sudah lemah dan tunduk kepada desakan dan bantahan DAP dan PKR, bagaimana golongan ulama mahu menegakkan syiar Islam, macam mana ingin martabatkan Islam jika tidak kuat," katanya ketika berucap pada Ceramah Cabaran Umat Kini, di Dataran Bukit Naning, dekat sini.

Ceramah anjuran Pertubuhan Kemajuan dan Integriti Melayu Muar (PEKIM) itu dihadiri lebih 5,000 masyarakat setempat.
Sementara itu, pada sidang media di rumahnya di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur, Hasan berkata, beliau tidak akan membuat sebarang rayuan berhubung pemecatannya sebagai ahli PAS pada 8 Januari lalu yang tamat pada Selasa ini.

Katanya, pemecatan serta gesaan supaya namanya digugurkan daripada barisan EXCO Selangor dilakukan secara autokratik dan tidak demokratik, hanya berdasarkan keterangan sebelah pihak serta menggambarkan ada komplot untuk menjatuhkannya.

"Asas terhadap keputusan muktamad ini adalah peranan parasit yang mempengaruhi pimpinan tertinggi, tidak menerima sebarang surat bagi membela diri, hala tuju dan dasar perjuangan parti terkeluar dari landasannya," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Penjawat awam perlu lebih efektif, responsif

Posted: 04 Feb 2012 03:02 PM PST

Nasional

Najib mahu barisan hadapan cekap yakinkan rakyat terhadap sistem kerajaan

KUANTAN: Penjawat awam, termasuk peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menjadi barisan depan kerajaan perlu lebih cekap menambah keyakinan rakyat terhadap sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sektor awam yang bertanggungjawab dan efektif adalah barisan depan pentadbiran kerajaan kerana persepsi dan tanggapan rakyat terhadap kerajaan banyak terbentuk melalui pengalaman mereka ketika berurusan dengan barisan depan agensi awam. Katanya, mereka perlu memahami dengan jelas Pelan Strategik Teknologi Maklumat (PSTM) yang juga satu daripada komponen Pelan Transformasi Nasional, supaya dapat memperkasakan sistem penyampaian menerusi penggunaan teknologi terkini.

"Ini kerana penjawat awam termasuk PBT adalah penyedia perkhidmatan kerajaan yang paling hampir dengan rakyat. Tanggapan rakyat dibentuk daripada interaksi mereka dengan PBT," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran dan Penyerahan PSTM (2011-2015) PBT & Hari Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) Komunikasi, Kandungan dan Infrastruktur (CCI) Projek Permulaan (EPP8) e-Government Pahang di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Kerajaan Pahang yang pertama membangunkan PSTM secara serentak bagi semua 11 PBT dengan menggunakan pendekatan penggunaan sumber dalaman sepenuhnya.

"Saya difahamkan projek pembangunan PSTM untuk semua PBT di Pahang adalah model pembangunan bersepadu yang pertama dilaksanakan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). Ia dapat mempercepatkan proses pembangunan dengan penjimatan kos amat ketara.

"Kos untuk membangunkan pelan ini hanya membabitkan sekitar RM100,000 berbanding jika dilaksanakan secara 'outsource' yang boleh menjangkau sehingga lebih RM1 juta," katanya.

Oleh itu, Perdana Menteri berharap model itu dapat diteruskan kepada agensi, kerajaan negeri dan PBT lain kerana ia bukan saja menjimatkan kos pembangunan PSTM tetapi boleh dijadikan platform baru pembangunan kepakaran dalam bidang strategik ICT.

Najib kemudiannya menyampaikan sumbangan ang pau dan barangan keperluan asas kepada warga tua dan miskin di Tokong Tow Koo Keong di Jalan Haji Junid, di sini.

Sementara itu, pada majlis penyerahan Skim Insentif Tanaman Semula (SITS) kelapa sawit kepada peneroka di FELDA Chini Timur 3 dekat sini, Najib berkata, lebih 5,000 peneroka daripada 36 skim FELDA di seluruh negara dijangka menerima insentif tanam semula dalam tempoh terdekat.

"Peneroka yang akan menerima insentif ini adalah mereka yang menanam semula sawit sebelum skim insentif ini dilaksanakan antara 1 Disember 2008 hingga 30 Jun 2009," katanya.

Teks ucapannya dibacakan Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Najib berkata, insentif itu disediakan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi menggalakkan pekebun kecil menanam semula ladang mereka dengan benih baru yang lebih baik.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan