Ahad, 19 Februari 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


KPT henti pemberian visa ketibaan, pas lawatan pelajar

Posted: 19 Feb 2012 02:55 AM PST

Mutakhir

JOHOR BAHRU: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menghentikan pemberian visa ketibaan dan pas sosial kepada penuntut asing ke negara ini bagi membendung penyalahgunaan pas berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kementerian itu hanya akan mengeluarkan visa pelajar kepada penuntut asing selepas mereka menerima tawaran daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) kelolaan kementerian.

Beliau berkata, perbincangan mengenai perkara berkenaan dengan Jabatan Imigresen dilakukan dua bulan lalu. "Mereka yang dikesan terbabit dengan kegiatan jenayah dan penyeludupan dadah kebanyakannya pelajar yang mengikuti program sementara dan pengajian bahasa di IPT yang bukan di bawah kelolaan KPT," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Mesra Ilmu Siri Tiga anjuran Fakulti Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Taman Cendana, Pasir Gudang, dekat sini.

Khaled diminta mengulas saranan Pakar Kriminologi, Datuk Akhbar Satar, yang menyarankan supaya KPT mengkaji semula dasar terlalu terbuka pemberian visa dan pas lawatan pelajar bagi membendung negara ini menjadi hab dadah antarabangsa.

Beliau berkata, mengikut rekod polis, tidak banyak pelajar yang berada di bawah kelolaan KPT terbabit dengan kegiatan tersebut.
"Pihak pengurusan IPTA dan IPTS juga perlu memaklumkan kepada kementerian jika ada penuntut asing yang mengabaikan pelajaran supaya kementerian dapat menyiasat sekiranya mereka terbabit dengan kegiatan negatif," katanya. - BERNAMA

Tan Sri Kamsiah Abdul Majid meninggal dunia

Posted: 19 Feb 2012 02:52 AM PST

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Bekas yang Dipertua Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Malaysia (WI), Tan Sri Kamsiah Abdul Majid, 90, meninggal dunia kerana sakit tua di Pusat Perubatan Universiti Malaya, di sini, hari ini.

Cucu Allahyarhamah, Sulaiman Idid, 41, berkata Kamsiah meninggal dunia pada 12.46 tengah hari tadi selepas dua minggu dimasukkan di pusat perubatan itu kerana masalah pembekuan darah di tangan.

"Allahyarhamah meninggalkan seorang anak tunggal perempuan dan empat orang cucu lelaki," katanya di sini, hari ini. Katanya, jenazah yang kini dibawa ke rumah emaknya di Taman Halimaton, Batu 3, Jalan Kelang Lama di sini akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang sebelum Zuhur esok.

Kamsiah, anak kelahiran Kuala Lumpur dan berkahwin dengan bekas Dekan Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Allahyarham Prof Datuk Dr Ibrahim Yassin, adalah seorang aktivis wanita semasa zaman kemerdekaan.

Sulaiman berkata, selain memegang jawatan penting dalam WI, neneknya adalah wanita Malaysia pertama dilantik sebagai Naib Yang Dipertua Perkumpulan Perempuan Desa Sedunia (ACWW).

Allahyarhamah juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Pengasas Majlis Penasihat Kebangsaan Mengenai Integrasi Wanita Dalam Pembangunan (NACIWID) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita-Wanita Malaysia (NCWO). - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan