Khamis, 16 Februari 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


MCA Kedah kemuka bukti peruntukan untuk NGO dipotong

Posted: 16 Feb 2012 02:09 AM PST

Mutakhir

ALOR SETAR: MCA Kedah hari ini mengemukakan bukti wujudnya perbuatan memotong sebahagian daripada peruntukan yang disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Pengerusi MCA Kedah, Datuk Chong Itt Chew, berkata pihaknya mempunyai senarai lengkap lapan NGO yang mendakwa peruntukan mereka dipotong termasuk salinan cek yang diterima setiap persatuan berkenaan.

NGO terbabit ialah Persatuan Penganut Dewa Fu De Ci, Persatuan Teo Chew Kedah Tengah, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Min Terk, Persatuan Penduduk Batu Dua Sungai Petani, Semeling Bomba Sukarela, Pertubuhan Penganut Guang Yuan Gong, Dewan Perhimpunan Cina Kedah Kuala Muda dan Sungai Petani Bomba Sukarela. "Peruntukan untuk lapan persatuan ini diumumkan oleh wakil rakyat dalam majlis tertentu, kemudian ada kontraktor datang kata kalau setuju terima peruntukan perlu rebat 30 peratus," katanya pada sidang media di sini.

Katanya, bagaimanapun dua NGO iaitu Pertubuhan Penganut Guang Yuan Gong dan Dewan Perhimpunan Cina Kedah Kuala Muda tidak bersetuju dengan syarat itu dan sehingga kini tidak mendapat sebarang bayaran walaupun diumumkan ada peruntukan untuk mereka.

"Tujuan kami kemuka bukti ini adalah kerana Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak semalam meminta kami tunjuk bukti. Saya tidak akan membuat dakwaan jika perkara ini tidak dipanjangkan kepada saya oleh pihak persatuan bersama bukti ini.

"Kami puji Menteri Besar kerana beliau tidak terbabit dalam hal ini tapi malangnya dia (Azizan) tidak tahu perkara ini berlaku membabitkan Exco dalam kerajaan negeri," kata Chong.
Beliau berkata, pihaknya juga berhubung dengan wakil daripada setiap NGO berkenaan dan dimaklumkan bahawa pengerusi mereka dipanggil bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - BERNAMA

Pemuda PAS tolak dakwat berbeza untuk undian awal

Posted: 16 Feb 2012 01:42 AM PST

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS tidak bersetuju dengan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menggunakan dakwat kekal yang berbeza warna bagi pengundian awal dan pengundian biasa pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS, Mohd Sany Hamzan, berkata ini kerana masih ada ruang untuk manipulasi dan penipuan sekiranya dakwat berbeza ini digunakan.

"Penggunaan dakwat yang berbeza masih lagi tidak akan menyelesaikan masalah pengundi yang berganda. "Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS menegaskan kepada pihak SPR supaya menggunakan hanya satu warna dakwat kekal saja di dalam pilihan raya umum nanti selain memastikan buku daftar pemilih pengundi diputihkan dan dibersihkan sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, semalam dilaporkan berkata, SPR membuat keputusan untuk membezakan warna dakwat kekal bagi undian biasa dan undian awal bagi membantu kelancaran proses pengendalian pilihan raya yang telus, bebas serta bersih sepenuhnya.

Sebanyak 230,000 botol dakwat kekal akan digunakan untuk 12.4 juta pengundi pada pilihan raya umum akan datang manakala 10,000 botol dakwat kekal pula adalah untuk pengundi awal termasuk anggota tentera dan polis serta keluarga mereka. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan