Rabu, 8 Februari 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Bayi baru lahir dijumpai di tepi bangunan di Tawau

Posted: 08 Feb 2012 03:18 AM PST

Mutakhir

TAWAU: Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan dijumpai di tepi bangunan milik sebuah syarikat swasta di Jalan Tanjung Batu, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin, berkata bayi yang dibungkus menggunakan kain batik dan ditinggalkan di tepi bangunan berkenaan dijumpai seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas kira-kira jam 5.05 pagi.

"Ketika mendekati bungkusan itu, dia mendengar suara tangisan bayi lalu terus menghubungi polis," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Katanya, bayi yang cukup sifat berkenaan kini ditempatkan sementara di Hospital Tawau untuk tujuan pemantauan.

Beliau meminta pengusaha klinik yang didatangi wanita yang baru melahirkan bayi dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bayi itu supaya menghubungi Rakan Cop di talian 089-772121 atau terus kepada Inspektor Nur Intan Jamri, di talian 019-8416591.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Dua lelaki didakwa bunuh pemandu lori

Posted: 08 Feb 2012 03:09 AM PST

Mutakhir

KLANG: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh seorang pemandu lori yang mayatnya ditemui di luar sebuah kuil di sini pada bulan lalu.

M Kalimurali, 28, K Mailvagam, 42, dan bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa membunuh Pajan Singh, 55, berhampiran Kuil Periyachikali Aman, Simpang Lima, Jalan Langat di sini kira-kira jam 3.30 petang pada 23 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Kalimurali seorang mekanik dan Mailvagam, pengawal keselamatan, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Majistret Hurman Hussain menetapkan 11 April depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Iskandariah Md Tahir sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan