Selasa, 7 Februari 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Polis rampas 65 set komputer judi di Seremban

Posted: 07 Feb 2012 03:09 AM PST

Mutakhir

SEREMBAN: Polis menyerbu tiga buah premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian siber dalam 'Ops Judi Ciber' di sini malam tadi dan merampas 65 set komputer yang diubah suai menjadi mesin perjudian haram.

Serbuan itu dilancarkan serentak oleh pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Kontinjen Polis negeri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid, berkata serbuan yang bermula kira-kira jam 11.30 malam itu diadakan di dua lokasi berasingan iaitu di Temiang dan Rasah. "Dalam serbuan itu, seramai 25 lelaki dan empat wanita warga tempatan yang sedang leka berjudi ditahan polis dan tiga lelaki tempatan dipercayai penjaga premis turut ditahan untuk membantu siasatan.

"Kesemua mereka yang berusia lingkungan 20 hingga 40-an kelihatan terkejut ketika serbuan dilakukan kerana tidak menyangka kehadiran pihak polis membuat pemeriksaan," katanya di sini, hari ini.

Katanya, semua pelanggan dibebaskan selepas keterangan mereka diambil manakala penjaga premis ditahan untuk membantu siasatan.

Hamdan berkata, selain komputer, turut dirampas wang tunai RM3,038 dipercayai kutipan hasil perjudian dari tiga premis terbabit.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda sebanyak RM10,000 bagi setiap mesin yang dirampas atau penjara lima tahun jika sabit kesalahan.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6 Enakmen Pusat Hiburan yang membawa hukuman denda minimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun sekiranya sabit kesalahan," katanya.

Serbuan dilancarkan susulan maklumat orang ramai berhubung kegiatan perjudian di premis berkenaan dan hasil risikan pihak polis. - BERNAMA

Azmin: PDRM belum terima pengesahan POLRI

Posted: 07 Feb 2012 03:00 AM PST

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum menerima pengesahan daripada polis Indonesia mengenai penahanan Azmin Hilmi, bekas teman lelaki Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, yang disyaki terbabit menyebar gambar bogel wanita itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata Kepolisan Negara Republik Indonesia (POLRI) masih belum mengesahkan penahanan lelaki itu yang didakwa dilakukan oleh pihak berkuasa Batam, Indonesia, Jumaat lalu.

"Setakat ini masih belum ada pengesahan daripada pihak Indonesia mengenai tangkapan tersebut. Hilmi masih dikehendaki polis Kuala Lumpur untuk bantu siasatan kes membabitkan Elizabeth Wong," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas. Ku berkata, sekiranya benar lelaki yang dikehendaki PDRM sejak 2009 itu ditahan, PDRM akan berurusan dengan POLRI melalui saluran tertentu.

Akhbar tempatan hari ini melaporkan lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pihak berkuasa Batam, Indonesia ketika dia cuba memperbaharui pasport dengan menggunakan kad identiti dan sijil lahir palsu di Jabatan Imigresen Batam.

Pemeriksaan lanjut pihak berkuasa Indonesia terhadap lelaki itu kemudian mendapati dia warga Malaysia dan mendakwa dirinya adalah anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pada Februari 2009, Hilmi yang juga bekas pembantu seorang pemimpin politik PKR di Selangor, diburu bagi menyelesaikan kontroversi penyebaran gambar bogel Wong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor.
Bagaimanapun, Hilmi yang ketika itu tinggal di Jalan 4H, Ampang Jaya, Selangor gagal dikesan kerana menghilangkan diri ke luar negara selepas terbongkarnya skandal itu. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan