Isnin, 20 Februari 2012

Berita Harian: MukaDepan

Berita Harian: MukaDepan


Visa, pas dihenti

Posted: 19 Feb 2012 03:34 PM PST

MukaDepan

Kementerian Pengajian Tinggi sekat pelajar asing salah guna dokumen

PASIR GUDANG: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menghentikan pengeluaran visa ketibaan dan pas lawatan sosial kepada pelajar asing ke negara ini bagi membendung penyalahgunaan dokumen itu serta mengawal kemasukan warga asing secara mudah.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya kini hanya mengeluarkan visa pelajar kepada pelajar asing selepas mereka menerima tawaran melanjutkan pelajaran daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Beliau berkata, KPT sudah berbincang dengan Jabatan Imigresen kira-kira dua bulan lalu supaya pemberian visa ketibaan dan pas lawatan sosial kepada pelajar asing dihentikan kecuali selepas menerima tawaran melanjutkan pelajaran.

"Keputusan ini diambil selepas mengambil kira banyak pelajar asing yang memasuki negara ini dan terbabit dalam kegiatan jenayah, khususnya dalam penyeludupan dadah.

"Mereka yang dikesan terbabit dengan kegiatan jenayah dan penyeludupan dadah kebanyakannya pelajar yang mengikuti program sementara dan pengajian bahasa di IPT bukan di bawah kelolaan KPT. Mengikut rekod polis, tidak ramai pelajar kelolaan KPT terbabit dengan jenayah atau penyeludupan dadah.

"Kami bersama Jabatan Imigresen membuat ketetapan hanya melalui kaedah ini masalah berkenaan dapat dibendung. Jika kita mendapati ada pelajar asing terbabit jenayah atau penyeludupan dadah akan dikenakan tindakan undang-undang," katanya selepas Majlis Penutup Program Mesra Ilmu Siri Tiga di Taman Cendana, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Pakar Kriminologi, Datuk Akhbar Satar dalam temu bual disiarkan Berita Minggu yang menyarankan KPT mengkaji semula dasar terlalu terbuka pemberian visa pelajar dan pas lawatan sosial bagi membendung Malaysia menjadi hab dadah antarabangsa.

Antara kelemahan dicadang diambil perhatian ialah sistem saringan dan keselamatan kemasukan warga asing yang terlalu terbuka dalam pemberian visa pelajar dan pas lawatan sosial, khususnya dari Iran dan Afrika.

Mohamed Khaled berkata, IPTA dan IPTS juga perlu memaklumkan kepada kementerian jika ada pelajar asing mengabaikan pelajaran supaya siasatan lanjut dijalankan bagi memastikan mereka tidak terbabit kegiatan negatif.

Tahun lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pelajar Antarabangsa bersama KPT menyaring kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia, selain mengambil tindakan ke atas institusi pendidikan dan pelajar antarabangsa yang melanggar undang-undang negara.

Mulai awal tahun ini, KPT dan KDN turut memperkenalkan sistem indikator untuk mengawal kemasukan 'pelajar palsu' dari negara berisiko tinggi dan yang mempunyai rekod jenayah, selain sistem tapisan.

Menurut sistem indikator itu, pelajar dari negara dikenal pasti berisiko tinggi yang mana aspek keselamatan harus diutamakan dikategorikan dalam skala tertinggi, iaitu lima.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

nizam

Kenapa baru sekarang nak mengambil tindakan bila dah banyak jenayah lebeh2 lagi warga Afrika yang terbukti dalam berita tv dan sebagai nya. Dan kebanyakkan perempuan Melayu dah subahat dan memjadi keldai dadah. Ini di umpamakan nasih dah jadi bubur baru nak buat sesuatu... apa dah jadi dengan mereka (orang atasan) tidak menjalankan tugas di amanah kan kepada mereka. Sekian dan terima kasih

m8

Bukan setakat pelajar je visa pelancong selama 90 hari pun patut diubah kepada sebulan dan maksimum 3 bulan dalam setahun, berselang selama 2 minggu, sekarang mereka duduk dalam Malaysia dan bekerja tanpa kebenaran dan bila hendak sampai 90 hari mereka akan keluar ke Thailand/Singapura dan masuk semula.
Kalau kali empat boleh duduk Malaysia 360 hari. kereta dari langkawi pun maksimum 90 dalam semenanjung.
Perkhidmatan penghantaran dari Malaysia ke Thailand sentiasa ada, ini boleh dilihat VAN Thailand bercermin gelap setiap minggu melalui jalan biasa/lebuhraya.

pembaca_berita

sepatutnya dilaksanakan awal-awal lagi. nasi dah jadi separuh bubur baru ambil tindakan tapi baguslah langkah tersebut daripada tidak bertindak langsung. sekain.

ash burn

mengawal aktiviti dan pengawasan kemasukan rakyat asing sepatutnya telah lama dilaksanakan bagi mengelak penyeludupan dadah,aktiviti tidak bermoral dan keselamatan negara yakni penyeludupan senjata api dan bahan terlarang lain.Bertindak segera sebelum terlambat

Kelatuan Boy

Satu pendekatan yang bagus bagi membendung kebanjiran warga asing ke malaysia, visa dan pas dihenti dan diterima sekiranya memiliki surat tawaran, adakah surat tawaran yang mereka kemukakan itu adalah surat tawaran sebenar atau palsu? pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk masuk ke negara ini dengan pemalsuan surat tawaran, oleh itu kementerian pengajian tinggi haruslah meneliti ketulinan surat tawaran yang mereka kemukakan dengan berhubung terus kepada IPT pemberi tawaran.

SITI HAJAR AYOB

Kebanjiran pelajar dari luar negara memang banyak menyusahkan kita. Perangai mereka yang kasar dan bersuara tinggi ketika berurus dipejabat maupun disekitar tempat kediaman pelajar yang tidak menghurmati penduduk setempat. Kerajaan harus menmotivasi mereka dan mengajar mereka menghormati budaya kita orang malaysia. Jangan dia datang berurus dengan mana2 pejabat buat macam negra dia sendiri.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan