Isnin, 13 Februari 2012

Berita Harian: MukaDepan

Berita Harian: MukaDepan


RM200 juta biaya projek Danga Bay

Posted: 12 Feb 2012 05:24 PM PST

MukaDepan

Johor Bahru bakal miliki bandar pesisir paling inovatif, moden dan terindah

JOHOR BAHRU: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan awal RM200 juta bagi membiayai projek Iskandar Waterfront City di sekitar Danga Bay, di sini yang akan menjadi projek pembangunan perniagaan runcit serta percutian paling inovatif, termoden dan terindah di Malaysia.

Perdana Menteri berkata, projek yang akan dibangunkan Iskandar Waterfront Holdings (IWH) itu adalah pendahulu kepada inisiatif transformasi Johor Bahru untuk menjadi destinasi perniagaan, komersial dan pelancongan bertaraf dunia. "Kerajaan Pusat meluluskan dana awal sebanyak RM200 juta bagi membangunkan projek ini dengan cepat dan menarik pelabur, pelancong dan peniaga daripada serantau.

"Apabila projek ini disiapkan, ia akan membantu Johor Bahru terus maju dan menjadi antara bandar raya yang mempunyai bandar

pesisir paling moden bukan saja di Malaysia, malah di rantau ini," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Ulang Tahun Ke-15 Danga Bay dan Pelancaran Yayasan Danga yang disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, di Pusat Konvensyen Danga Bay, dekat sini.
Sempena majlis itu, Sultan Ibrahim turut berkenan melancarkan Pusat Maklumat Iskandar Malaysia dan Yayasan Danga, selain menyertai acara Yee Sang.

Hadir mencemar duli pada majlis itu, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan isterinya, Prof Datin Paduka Dr Jamilah Ariffin, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar, Ismail Ibrahim dan Pengarah Urusan IWH, Datuk Lim Kang Hoo.

Perdana Menteri berkata, pembangunan projek itu terletak di antara kawasan pembangunan paling menarik di Malaysia dan Johor khususnya, yang mempunyai akses mudah melalui udara, laut dan jalan raya serta kedudukan uniknya di penghujung semenanjung bersempadan dengan Singapura.

Katanya, usaha memajukan semula kawasan perbandaran itu adalah selari dengan pendekatan pembangunan koridor oleh Kerajaan Pusat bagi memberi nafas baru kepada bandar lama dengan gaya kehidupan moden.

"Ia bukan saja membabitkan pemuliharaan dan naik taraf bangunan warisan, landskap dan mewujudkan kawasan hijau, tetapi juga pengenalan kepada produk hartanah dan elemen nilai tambah kepada bandar sedia ada," katanya.

Najib berkata, pembangunan kawasan itu membabitkan perancangan membina terminal kapal layar, marina, dermaga nelayan, bangunan menara menempatkan pejabat kewangan dan komersial, hotel, pusat pameran dan konvensyen serta kawasan perumahan.

Sementara itu, Kang Hoo, berkata pembangunan Iskandar Waterfront City akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 25 tahun dengan nilai kasar keseluruhan projek berkenaan dijangka mencapai RM80 bilion.

"Dengan pelbagai projek sedang dibangunkan secara berperingkat, IWH bakal meletakkan dirinya sebagai peneraju pembangunan pesisir di selatan Malaysia," katanya menerusi kenyataan sempena majlis itu, semalam.

Antara projek yang dirancang bagi kawasan terbabit termasuk sebuah pintu masuk ikonik dan terminal pelayaran di Tanjung Puteri, dermaga nelayan bercirikan Mediterranean di Danga Bay; pusat bersejarah dan warisan kebudayaan Malaysia dikenali The Bund@Danga Bay dan pembangunan pesisir antarabangsa Rivera @ Danga Bay.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Tiada ulasan:

Catat Ulasan