Jumaat, 10 Februari 2012

Berita Harian: MukaDepan

Berita Harian: MukaDepan


Khazanah, PNB lupus aset niaga

Posted: 09 Feb 2012 02:29 PM PST

MukaDepan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan melupuskan aset perniagaan bukan teras miliknya untuk ditadbir atau diserah milik kepada syarikat Bumiputera berpotensi, secara tender terbuka.

Perdana Menteri berkata masing-masing lima syarikat bukan teras yang dimiliki kedua-dua konglomerat itu akan dikenal pasti untuk tujuan itu yang sekali gus meningkatkan nilai ekuiti Bumiputera dalam sektor ekonomi.

Perkara itu adalah antara lima keputusan yang dipersetujui mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) yang dipengerusikan beliau di sini semalam. "Syarikat Bumiputera yang terbaik, kukuh dan berkemampuan akan dipilih memiliki syarikat berkenaan. (Ia) akan melalui proses penilaian secara terbuka iaitu melalui kaedah tender terbuka dan syarikat Bumiputera dipelawa mengambil bahagian," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MTAB di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Agenda Pembangunan Bumiputera adalah antara perkara yang diberi penekanan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) yang digerakkan Jun lalu bertujuan menggubal polisi, hala tuju strategik serta memantau keberkesanan pelaksanaan program serta inisiatif yang berkaitan dengan agenda pembangunan Bumiputera.

Perdana Menteri turut mengumumkan keputusan menambah 50 lagi syarikat Bumiputera dalam program Teras yang diterajui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), menjadikan 80 syarikat terpilih sebagai syarikat Teras, yang menjana pendapatan keseluruhan RM5 bilion.
Bagaimanapun, katanya, syarikat itu tidak dijanjikan kontrak kerajaan sebaliknya tumpuan akan lebih diberikan kepada membantu meningkatkan keupayaan pengurusan, teknikal dan kewangan masing-masing.

"Syarikat ini telah pun melalui proses penilaian dan penarafan dan kita telah tentukan bahawa syarikat berkenaan mempunyai potensi berkembang dan jumlah hasil syarikat itu dalam lingkungan RM5 bilion.

"Ia juga membantu syarikat ini dari segi proses inovasi dan juga perancangan perniagaan yang boleh dilakukan penambahbaikan melalui peranan yang dimainkan TERAJU," katanya.

Program Teras dilancarkan pada 20 Julai tahun lalu bertujuan membangunkan generasi usahawan Bumiputera bertaraf dunia dalam semua 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Najib turut mengumumkan pelantikan Raja Azura Raja Mahayuddin sebagai Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) yang dilancarkan November tahun lalu.

Katanya, YPPB akan memulakan operasi dengan dana permulaan RM158 juta bagi membantu pelajar Bumiputera melanjutkan pelajaran dalam bidang profesional seperti akauntan.

"Melalui bantuan yayasan ini, mereka yang memiliki ijazah Perakaunan boleh ditingkatkan taraf kelulusan sebagai akauntan profesional dengan kelulusan yang diiktiraf," katanya.

YPPB juga akan memberi bantuan dengan cara menampung kekurangan kos yang diperlukan pelajar yang berpeluang memasuki institusi pengajian tinggi swasta dalam bidang perubatan dan kejuruteraan.

Beliau berkata, dana yayasan disasarkan untuk ditingkatkan kepada RM500 juta dalam tempoh lima tahun sekali gus berupaya membantu lebih ramai pelajar Bumiputera.

Keputusan lain dalam mesyuarat MTAB semalam ialah:

  • Syarikat Bumiputera akan dipelawa mengguna pakai aplikasi e-kerajaan untuk memasarkan produk di luar negara; dan
  • Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) akan dijadikan rakan kongsi kepada TERAJU untuk membangunkan syarikat Bumiputera yang 88 peratus daripadanya bersifat perniagaan kecil supaya boleh ditingkatkan ke tahap lebih tinggi.

'2 YB PKR terbabit skandal pasir'

Posted: 09 Feb 2012 02:26 PM PST

MukaDepan

KUALA LUMPUR: Raja Petra Kamaruddin mendakwa ADUN Sri Muda, Mat Suhaimi Shafiei dan ADUN Batu Caves, Amirudin Shari, kedua-duanya dari PKR terbabit dalam skandal perlombongan pasir di Selangor.

Dalam artikel yang disiarkan portal berita Malaysia Today semalam, beliau mendakwa ada unsur rasuah dalam urusan mendapatkan kontrak melombong pasir antara Mat Suhaimi dengan seorang kontraktor menerusi beberapa pertemuan di Pulau Pinang dan Subang serta rakaman perbualan telefon mereka.

Beliau mendakwa, Mat Suhaimi beberapa kali meminta wang daripada kontraktor berkenaan antara 15 Ogos 2009 hingga 5 Januari 2010, antaranya RM5,000 untuk perbelanjaan kempen pilihan raya, RM35,000 perbelanjaan Ramadan, RM10,000 jamuan Hari Raya dan RM50,000 yang masukkan dalam akaun bank sebuah syarikat untuk kegunaan pilihan raya. Wang RM50,000 itu dimasukkan ke akaun Affin Bank, Klang menerusi transaksi pada 11 Januari 2010.

Pendedahan semalam adalah susulan kepada pendedahan yang disiarkan kelmarin berhubung kematian kenalannya, Datuk Patrick Wong, seorang ahli perniagaan dalam rompakan di kediamannya di Bukit Bandaraya pada 2009 yang didakwa ada kaitan dengan skandal perlombongan pasir.

Raja Petra mendakwa Mat Suhaimi turut meminta kontraktor pasir berkenaan bergabung dengan sebuah syarikat, Double Dignity (M) Sdn Bhd dengan Mat Suhaimi serta Amirudin menjadi antara lima pengarahnya dengan bayaran RM5,000.

Beliau mendakwa pada 18 Januari 2010, syarikat berkenaan menghantar surat permohonan untuk melombong pasir di kawasan seluas 18 hektar di Dengkil kepada Mat Suhaimi dengan tandatangan sokongan oleh Amirudin.
"Apa yang penting, Mat Suhaimi dan Amirudin berdaftar sebagai Pengarah Double Dignity (M) Sdn Bhd pada hari yang sama, iaitu 18 Januari 2010 dan ia bukan satu kebetulan.

"Ia jelas wang itu adalah bayaran bagi membantu Double Dignity mendapatkan kelulusan daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd untuk melombong pasir di Selangor. Mat Suhaimi memberitahu kontraktor itu perlu membayar segelintir orang dalam Kumpulan Semesta," katanya. Kumpulan Semesta adalah anak syarikat kerajaan Selangor yang menguruskan pengeluaran pasir di negeri berkenaan.

Selain itu, rakaman perbualan telefon berkenaan ada menyebut Mat Suhaimi akan berbincang dengan individu yang dikenali sebagai Azmin selepas kontraktor itu meminta bantuan untuk melombong pasir di Batang Kali. Mat Suhaimi kemudian memberitahu, wang RM50,000 itu perlu dibayar kerana Azmin ketika itu sedang mengumpul wang untuk perbelanjaan pilihan raya.

Raja Petra juga mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak meneruskan siasatan selepas skandal perlombongan pasir di Selangor didedahkan tahun lalu.

Sementara itu, Amirudin ketika dihubungi berkata, isu yang didedahkan Raja Petra sudah dijelaskan secara terperinci kepada SPRM pada Julai 2010.

"Ini bukan isu baru. Saya juga tidak ada kaitan dalam proses pengeluaran permit pasir kerana surat sokongan yang saya keluarkan adalah berasaskan peraturan dan etika. Oleh itu, ia tidak mempengaruhi keputusan yang dibuat mana-mana pegawai yang bertanggungjawab," katanya.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu juga mendakwa tidak pernah mengenali Datuk Patrick Wong dan hanya mendengar nama ahli perniagaan itu beberapa hari lalu.

Mat Suhaimi menerusi blog srimuda.blogspot.com pula mempertikaikan kredibiliti Raja Petra kerana gaya penulisan yang bertentangan berbanding sebelum ini.

"Dalam dunia hari ini, objek manusia, gambar dan apa saja bahan spin (putar belit) boleh direka cipta dan disolek menjadi seperti asli, apatah lagi dokumen asli untuk maksud lain, boleh disalah guna bagi menjadikan tujuan spin dapat dibuktikan seyakin yang boleh," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan