Isnin, 2 Januari 2012

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Bawa 2 anak buat maksiat

Posted: 01 Jan 2012 02:07 PM PST

Wilayah

Pasangan duda dan Isteri orang diambil keterangan   pegawai MAIDK  di  hotel bajet  Kluang.

Pasangan duda dan Isteri orang diambil keterangan pegawai MAIDK di hotel bajet Kluang.

Ibu muda, duda diserbu di hotel bajet menjelang tahun baru

KLUANG: Seorang ibu muda yang masih dalam proses perceraian tergamak membawa anaknya yang baru berusia setahun ketika memadu asmara semasa menyambut tahun baru di sebuah bilik hotel bajet di sini bersama seorang duda beranak satu yang juga turut membawa anaknya yang berusia lima tahun, pagi semalam.

Namun, helah pasangan itu yang pada mulanya mengaku sebagai pasangan suami isteri gagal mengaburi pasukan penguat kuasa Majlis Agama Islam Daerah Kluang apabila mereka akhirnya ditahan kerana disyaki berkhalwat selepas gagal menunjukkan sebarang bukti ikatan perkahwinan mereka.

Ketika serbuan dijalankan sekitar hotel bajet itu, pasangan terbabit mengambil masa hampir 20 minit sebelum membuka pintu selepas pegawai bertugas mengetuk bilik mereka. Sebaik pintu dibuka duda berusia 29 tahun itu dilihat hanya memakai seluar pendek dan kemeja yang tidak berbutang dan ibu muda 24 tahun itu memakai seluar ketat dan kemeja, manakala kedua-dua anak itu sedang tidur di atas katil.

Pegawai Penguat Kuasa Majlis Agama Islam Daerah Kluang, Ustaz Anuar Kosnin yang mengetuai operasi cegah maksiat ambang tahun baru itu berkata, pasangan terbabit yang mengaku dalam perjalanan dari Pahang ke Batu Pahat itu memberi alasan keletihan dan hanya singgah berehat di hotel berkenaan.

"Bagaimanapun mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat apabila hasil soal siasat akhirnya mereka mengaku tidak mempunyai sebarang ikatan sah suami isteri, selain mengaku akan berkahwin tidak lama lagi," katanya ketika ditemui pada operasi cegah maksiat selama enam jam di sekitar daerah ini.

Dalam operasi cegah maksiat bersepadu sempena sambutan tahun baru yang dijalankan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Cawangan Penyiasatan Khas Kem Mahkota bermula jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi, tiga pasangan lain termasuk dua pasangan warga Indonesia ditahan.
Sementara itu, dalam tangkapan berasingan yang dilakukan di Simpang Renggam, sepasang kekasih berusia 35 dan 24 tahun, masih tidak serik apabila ditangkap berkhalwat untuk kali ketiga.

Pasangan itu yang juga pekerja di sebuah kilang papan dikenali di kalangan penguat kuasa agama daerah ini kerana pernah diberi kaunseling dan nasihat di hadapan keluarga masing-masing sebelum ini.

Ketika ditahan pihak berkuasa, pasangan itu langsung tidak menunjukkan reaksi cemas, sebaliknya sanggup memberi alasan mahu melepaskan rindu.

Malah, turut memanggil nama timangan masing-masing iaitu 'papa dan mama' di hadapan semua pegawai operasi yang bertugas tanpa rasa bersalah dan janggal ketika soal siasat dijalankan.

Semua pasangan itu akan didakwa mengikut Seksyen 27 (1) (a) & (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997, yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Full content generated by Get Full RSS.

25 petani rugi RM150,000

Posted: 01 Jan 2012 02:06 PM PST

Wilayah

Tanaman padi dua kampung musnah diserang penyakit karah

PENDANG: Dua puluh lima petani di Kampung Paya Kerchut dan Kampung Padang Kemucut di sini, mengalami kerugian hampir RM150,000 selepas tanaman padi seluas kira-kira 30 hektar yang diusahakan mereka musnah akibat diserang penyakit karah.

Kumpulan petani terbabit mendakwa mengalami kerugian besar selepas hampir 100 peratus padi berusia dua bulan yang ditanam mereka rosak teruk akibat diserang penyakit karah iaitu sejenis kulat yang hidup pada biji padi, sisa jerami dan rumpai.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom, berkata penyakit karah yang juga sejenis penyakit yang paling berbahaya kepada tanaman padi dipercayai menyerang sawah padi sejak awal tumbesaran tanaman. Beliau berkata, pihaknya akan meminta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) melakukan kaji selidik terhadap bekalan biji benih yang dipercayai dibekalkan oleh sebuah syarikat swasta kepada kumpulan petani berkenaan yang kemungkinan sudah dijangkiti penyakit terbabit.

"Kementerian akan mengadakan perbincangan dengan MADA untuk membantu petani berkenaan walaupun pada dasarnya tiada peruntukan bantuan membabitkan kes serangan penyakit pada tanaman," katanya pada sidang media selepas melawat kawasan sawah yang terjejas akibat penyakit karah di kampung berkenaan, semalam.

Mohd Johari berkata, mengikut rekod setiap tahun hampir 1,000 hektar kawasan padi di negeri ini diserang penyakit karah dan jumlah berkenaan didakwa menurun pada 2004 tetapi meningkat semula sejak 2009.

Beliau berkata, kementerian dan MADA akan menubuhkan satu pasukan khas untuk mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah penyakit karah yang menyebabkan kehilangan antara 50 hingga 100 peratus hasil pengeluaran padi petani.
"Angin adalah penyebar utama kulat ini sekali gus menyebabkan berlaku percambahan jika kelembapan tinggi.

"Lebih 2,000 hingga 6,000 benih kulat dilepaskan untuk sebaran ke pokok lain dan merebak dengan cepat. Justeru, bagi kes serius langkah untuk mengatasinya adalah dengan meracun semula semua tanaman berkenaan bagi mengelak ia terus tersebar," katanya.

Difahamkan, bagi penyakit karah kaedah kawalan yang perlu dilakukan petani bagi mengelak ia menjangkiti tanaman adalah dengan melakukan pembakaran jerami terkawal, kawalan rumpai di atas batas selain menggunakan benih padi yang dirawat.

Sementara itu, petani, Mohd Zain Abdul Kadir, 71, berkata dia mendapatkan bekalan benih padi berkenaan daripada sebuah syarikat swasta dan mengesan berlaku jangkitan karah 15 hari selepas menabur benih.

"Saya sudah meracun, namun kulat berkenaan tetap menyerang dan apabila padi berusia dua bulan ia kelihatan kekuningan dan mati akibat serangan penyakit berkenaan.

"Ini kes pertama serangan karah membabitkan tanaman padi di sini sejak 50 tahun saya mengusahakan tanaman padi. Saya percaya ia kemungkinan besar berpunca daripada benih atau benih lama yang duduk di dalam tanah dikenali padi batat," katanya.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan