Isnin, 2 Januari 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


MB Terengganu beri amaran pihak cuba murtadkan umat Islam

Posted: 02 Jan 2012 02:06 AM PST

Mutakhir

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu memberi amaran kepada mereka yang dianggap cuba 'bermain api' untuk memurtadkan umat Islam termasuk orang kelainan upaya (OKU) di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata mereka yang terbabit harus menghormati umat Islam dan menghentikan perbuatan yang bertentangan dengan perlembagaan negara kerana dikhuatiri akan mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

"Gerakan itu sangat serius dan perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua pihak khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT)...JHEAT perlu mengemukakan laporan kepada kerajaan. Kita juga minta kerjasama masyarakat Islam yang tahu mengenainya agar memaklumkan kepada pihak berwajib. "Perkara ini adalah isu yang sensitif, ini soal yang serius. Jangan cuba bermain api," katanya kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak mangsa kemalangan jalan raya, Iman Adam Raman, 9, yang lumpuh di Kampung Kebor Besar dekat sini, hari ini.

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan JHEAT baru-baru ini bahawa wujud pihak tertentu yang bergerak aktif dalam usaha memurtadkan umat Islam di negeri itu termasuk OKU.

Pesuruhjaya JHEAT, Mohd Rozali Saleh ketika mendedahkan perkara itu baru-baru ini berkata, gerakan itu turut menyusup ke hospital untuk memperdaya pesakit yang sebatang kara selain mat rempit dan golongan tidak berkemampuan.

Mohd Rozali turut meluahkan kebimbangannya dengan gejala itu dan menurutnya tindakan sewajarnya akan diambil bagi membendung perkara itu daripada menjadi bertambah serius.
Ahmad bagaimanapun menjelaskan pihaknya masih belum menerima laporan terperinci mengenai perkara itu daripada JHEAT. - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Mangsa banjir di Perlis dijangka pulang lewat petang ini

Posted: 02 Jan 2012 01:27 AM PST

Mutakhir

PADANG BESAR: Keadaan banjir di utara negeri ini dijangka pulih sepenuhnya lewat hari ini apabila kesemua mangsa dijadual pulang ke rumah masing-masing selewat-lewatnya malam ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis, Abdullah Ali, berkata kesemua 557 mangsa daripada 165 keluarga itu dijangka kembali ke rumah mereka sebelum senja.

"Kalau boleh kita mahu semua pulang ke rumah masing-masing sebelum malam," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan mangsa banjir di dewan Panggas Besar, di sini. Beliau sebelum itu mengiringi lawatan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu yang datang bersama dua lagi bekas menteri besar Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh.

Mengulas kemunculannya bersama Shahidan, Md Isa berkata perkara itu membuktikan UMNO Perlis bersatu, sekalipun ada suara sumbang yang mendakwa wujud perpecahan ketara dalam parti tersebut.

Sementara itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut meluangkan masa berangkat melawat mangsa banjir di utara Perlis.

Baginda berdua meluangkan masa hampir dua jam setengah meninjau keadaan banjir di Titi Tinggi Hilir, iaitu antara kampung paling teruk terjejas dalam kejadian banjir di negeri ini.
Baginda berdua juga turut melawat dan beramah mesra dengan penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Titi Tinggi dan dewan orang ramai Kampung Kok Mak dekat sini. - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan